Tuesday, August 14, 2018

Hangat..cinta mama

Mama tulis coretan ikhlas ini khusus untuk kenangan anak-anak hebat mama...

Terima kasih atas pengorbanan kalian tak berbelah bahagi.

Tipu jika dalam hati seorang mama ini, tidak datang menjengah rasa sayu, terpaksa menyerahkan sebahagian besar ‘masa’ tugas memanjakan, mendidik, mengasuh, mengajar anak-anak mama yang sedang dalam tempoh kritikal (0-6 tahun) kepada pembantu, iaitu orang luar yang datang menabur beribu jasa kepada anak-anak mama. Sedangkan mama di sini berhempas pulas mendidik anak orang lain.. 

Maafkan mama tak sering banyak ruang untuk mengajarkan kalian tentang ilmu dan kehidupan. Sedangkan mama ada seribu harapan dan impian untuk kita usaha capai bersama..

Saban hari melihat air mata yang mengalir, merasai pelukan yang tak mahu dilepaskan, sumpah mama selalu sebak dan tak kuat. Tapi begitulah kehidupan, berencam warna dan coraknya.

Dan..
Bila mama pulang keletihan keluar sejak pagi, kalian datang ingin bermanja melepas rindu, maafkan mama yang selalunya tewas untuk tetap senyum meraikan. Dan ketika minda mama berselirat dengan pelbagai urusan yang tak pernah habis, sukar sekali untuk mama memanjai kalian dengan sepenuh hati.

Banyak masanya, kalian perlu dewasa sebelum usia..ya, perlu matang ketika belum waktunya.

Hanya doa yang mama mampu berikan pada kalian setiap hari. Moga berkat mama di sini demi anak-anak murid, Allah kurniakan kebaikan dan kemudahan untuk kehidupan anak mama seluruhnya. Dilapangkan fikiran, ditajamkan minda, dijinakkan hati untuk sentiasa berusaha demi kebaikan untuk dunia dan akhirat. Meskipun 'tangan' mama itu tak mampu selalu cemerlang mendidik anak-anak sendiri.

Sayang-sayang mama,
Satu yang mama pasti, semua ini hanyalah cabaran, bukan halangan untuk apa yang kita idamkan.. dan kita akan laluinya bersama..

InshaAllah ♥️

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat