Tuesday, December 9, 2014

CEPATNYA MASA BERLALU!



“Adikku, kita ini hanyalah masa-masa dari hari-hari yang dilalui...beredar sesaat, seminit, sejam beerti hilang juga sebahagian diri...
Mari kita hayati firman Allah Subhanahu wa Ta'ala ini :
لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فإن الله به عليم
"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menaf­kahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."
( Surah Ali Imran, 3: 92)
Ke mana perhubungan ini mahu kita bawa? Dan berapakah lagi tempoh masa yang ada? Soalan pertama di bawah tadbir kita, soalan kedua biar Allah yang menentukannya. Moga ukhuwwah yang ditakdirkan ini lebih bernilai di sisi ILAHI, sebagai pemberat amal kebajikan di sana nanti, ameen. Uhibbuki fillah”

Saya membaca bicara kakanda yang dikasihi melalui mesej yang dihantar pada hari lahir saya yang lepas. Ada nasihat yang boleh direnungi sebagai ingatan buat diri ini. Benarlah, kita ini adalah sebahagian daripada masa, akan pergi setelah berlalunya masa. Sehinggalah, sudah tidak ada lagi masa yang menjadi bahagian kehidupan kita menandakan telah tiba saatnya kita kembali kepada yang Esa. Ketika itu, biarpun masa telah tiada buat diri kita, namun masih ada amal soleh yang dibawa bersama untuk dipersembahkan kepadaNya kelak. 

“Masa sekarang cepat sangat rasanya, baru sahaja hari minggu, dah sabtu semula." Tanpa sedar saya mengeluh meluahkan apa yang dirasai.

Suami membalas keluhan saya dengan kata-katanya yang berinti nasihat, "Tidak perlu cemas, risau dan memerhati masa itu cepat atau lambat, apa yang lebih perlu adalah fokus dan perhatikan adalah untuk segera isikan setiap detik yang ada dengan sesuatu yang penting untuk dunia dan akhirat. Biarlah masa itu berlalu, itu memang sifatnya, cuma pastikan agar umur, amalan & ilmu kita tidak kekal berlalu hambar bersama perginya masa.”

Belajar mengurus masa
“Lakukanlah daripada amalan (ibadat) yang kamu mampu. Kerana sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu yang akan jemu. Sebaik-baik amalan kepada Allah itu ialah berterusan walaupun sedikit” (HR Bukhari dan Muslim)

Ibnu ‘Ata menyatakan di dalam kitabnya al Hikam ;
“ Kerugian yang sebenar ialah apabila kamu meluangkan masa lapang kamu tanpa melakukan sebarang pekerjaan”

Antara aspek yang penting dalam kehidupan seharian adalah mengenai cara untuk menguruskan masa. Pengurusan masa yang baik dapat membantu seseorang melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang pelbagai. Kerana masa yang diberikan adalah sama kepada semua makhluk iaitu selama 24 jam. Namun, terpulang kepada setiap individu tentang bagaimana cara untuk mengisi dan memanfaatkannya dan tidak membiarkannya kosong tanpa sebarang amal baik

   
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian 3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Setiap detik masa adalah berharga dan memiliki keistimewaan yang tersendiri. Malah di dalam Islam sendiri, ada digariskan keutamaan bagi masa-masa yang tertentu. Sebagai contoh, waktu sepertiga akhir malam pada setiap Ramadhan dan hari jumaat adalah waktu yang baik untuk berdoa dan beribadat kepada Allah. Ini dapat dilihat di dalam firman Allah :

79. dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.

Kualiti masa

Rasulullah bersabda:

“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa, memohon kepada Allah, waktu  ia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.”(HR Ibnu Hibban).

Dalam kita menghadapi situasi semasa yang menyebabkan kita merasakan masa makin cepat berlalu, adalah satu kewajipan untuk menyusun atur jadual kehidupan dengan sebaiknya walaupun mungkin agak lelah mengejar dan memanfaatkan masa. Saya masih ingat ketika mengikuti suami ke berprogram baru-baru ini, saya yang hanya mengikut pula rasa keletihan kerana seharian penuh terisi bermula awal pagi perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Johor. Namun, akhirnya saya malu sendiri kerana melihat suami yang masih bertenaga sehingga ke ceramah yang terakhir untuk hari itu usai solat isyak. Benarlah, masa yang sama, dengan kuantiti yang sama. Hanya pengurusan kualiti yang berbeza bagi setiap individu.

Biarpun sejak akhir-akhir ini manusia diuji dengan kekangan masa kerana tanggungjawab dan cabaran yang pelbagai seperti kesesakan jalan raya dan sebagainya, namun tetap sahaja masa itu ada untuk memenuhi keperluan manusia. Antara aspek penting yang perlu difahami mengenai masa adalah kualiti yang terhasil daripada keberkatan masa. Saya teringat kata-kata suami suatu ketika dahulu. “Keberkatan masa akan menjadikan yang sedikit dirasakan cukup. Jika tidak berkat, masa yang banyak pun tidak membawa apa-apa manfaat”. 

Benarlah, masa akan sentiasa ada bagi yang mencari dan menghargai. Masa akan sentiasa tidak mencukupi, bagi yang beralasan dan tidak menghargai. Saya memuhasabah diri, terlalu banyak kelompongan dalam mengisi setiap detik nafas yang bersisa.

Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku di akhirnya, sebaik-baik amalanku pada penutupnya, dan sebaik-baik hariku, adalah hariku bertemu denganMu.

Buat mengakhiri catatan ini, ayuh bertanya pada diri. Ke mana telah telah kuhabiskan masa-masa yang telah berlalu?

New Life :)

Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, jutaan kesyukuran dipanjatkan hanya pada Dia, pemilik diri ini dan seluruhnya. Masa berjalan, berlalu dan terus berlalu, membawa perubahan baru.

5 tahun 6 bulan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan akhirnya berlalu, membawa pergi kelegaan dan kesyukuran yang bukan sedikit. Benar, zaman belajar adalah kenangan indah. Terlalu banyak memori terakam. Diri ini mula merindui...:)

Melalui fasa pelajar tahun akhir sebagai isteri dan bakal ibu, hanya kuasa ALLAH yang menjadikannya mudah dan lancar.

Terima kasih semua insan-insan di sisi, kerana tak aku mampu hanya dengan bersendiri. Terima kasih suami tercinta, yang cukup memahami, menenangkan dan menguatkan. Terima kasih ayah bonda yang jauh namun dekat dalam doa. Terima kasih kakanda, terima kasih anak-anak mama.

Teristimewa,

Terima kasih sayang mama, sentiasa di sisi menemani hari-hari mama. Insya Allah, jika diizinkan ALLAH, tak lama lagi kita bertemu. Hadirmu sayang, juga bererti hadirnya cabaran baru dalam hidup.

Bersamamu,
Diri ini belajar menyintai insan yang hadirnya sangat dinanti,
Bersamamu,
Diri ini mula merindui insan yang belum pernah saling bertemu wajah.

26 weeks

aisyahumaira 091214 8:18PM
ST Utama

Thursday, November 20, 2014

Takkan rugi




Takkan rugi,
Jiwa yang lelah kerana mencari-cari redhaNya

Takkan rugi,
Jiwa yang tunduk mengharap hanya padaNya.

Takkan rugi,
Jiwa yang sabar pada peritnya sebuah pengorbanan sementara.

Takkan rugi,
Jiwa yang redha pada garisan ketentuan dan taqdir.

Takkan rugi,
Jiwa yang tak tewas pada tuntutan nafsu yang durjana.

Takkan rugi,
Jiwa yang merasa cukup dengan kekurangan.

Takkan rugi,
Jiwa yang tak terpenuhi dengan kesenangan dunia.

Takkan rugi,
Jiwa yang sudi ditarbiyah dengan ujianNya.

Takkan rugi,
Jiwa yang dikuatkan dengan cinta dalam kalam suciNya.

Takkan rugi,
Jiwa yang ringan mensyukuri setiap inci anugerahNya.

Takkan rugi,
Dakwat yang ditinta hanya demi Dia

Takkan rugi,
Kerana yakinilah ganjarannya,
Bukan pada nikmat dan pujian insani,
Tetapi,
Hamparan permaidani indah di syurga yang menanti!

Nur A'isyah Humaira 
201114 9:29PM @ ST Utama

Friday, September 12, 2014

Harta Berjuta





“Assalamualaikum, K. Teh. Amni dan Izzah sihat? Adik mimpikan mereka tadi. Rindu kot lama tak berjumpa…” tulis saya di ruangan whatsapp kepada kakanda nun jauh di kampung mengenai anak-anaknya. Rindu sehingga terbawa-bawa ke mimpi.  

 “ Semalam baru hantar mereka berdua ke asrama. Hmm, Alhamdulillah, bahagia bila teringatkan mereka berdua…” balas kakak saya. Ada nada sayu dan syukur yang dapat saya rasai daripada balasannya.

“ Alhamdulillah, adik pun rasa K. Teh sangat bertuah dikurniakan dua anak dara seperti Amni dan Izzah…” saya membalas ringkas, sebelum menghentikan perbualan.

Sejenak, saya terkenang dua anak saudara yang dikasihi itu. Amni sudah menjejak tingkatan 3 dan Izzah di tingkatan 1. Syukur pada Allah, kedua-duanya terpilih ke Sekolah Menengah Imtiaz, masing-masing di Kuala Terengganu dan Besut, setelah melalui pelbagai ujian dan tapisan kerana terlalu banyak permohonan untuk memasuki sekolah sains hafazan itu.

Dalam usia yang masih muda semenjak sekolah rendah, kedua-duanya sungguh rajin membantu. Masih saya ingat pujian bonda merangkap nenek mereka. “ Kalau Izzah ada, selamatlah ayam di sinki, semua selesai dibersihkan sehingga disimpan di dalam peti. Amni pula, tak henti membantu mengemas rumah, pantang betul dia melihat rumah bersepah. Sehingga tak sedar kadang kala mainan adik-adiknya pun tak diizinkan bersepah. Kena diingatkan supaya dibiarkan sahaja agar adik-adiknya boleh bermain…” saya tersenyum. Benar sekali setiap kata-kata bonda.

“ Su a, doakan Izzah. Hmm Izzah rasa sukar nak menghafal. Izzah rasa tak mampu…” ada tangisan mengiringi luahannya kepada saya di melalui corong telefon awam di sekolahnya semasa mula-mula memasuki alam sekolah menengah. Tekanan yang mungkin tidak pernah dirasai semasa sekolah rendah.

“ Allah tahu Izzah mampu, sebab itu Izzah ada di sana. Sabar ye sayang. Setiap rasa kesusahan Izzah, ada pahala yang sentiasa mengiringi. Itu yang lebih penting. Dulu kan, Izzah yang bersungguh ingin belajar di Imtiaz, seperti Su a dan kakak Amni? Lagipun, Izzah boleh bincang dengan kakak Amni, dia kan sudah lama mula menghafal…” saya memberi cadangan. Benarlah, tidak lama kemudian, dia semakin ceria dan akhirnya semakin kuat menghadapi hari-hari dengan rutin yang baru.

Saya akui, dilahirkan menjadi anak bongsu, saya bukan seorang ‘rajin’ membantu di rumah. Sementelah, saya memiliki 7 orang kakak perempuan yang rajin serba serbi. Maka bertambah lagi kekaguman saya pada dua anak remaja ini, Amni dan Izzah. Mereka cukup ringan tulang membantu, malah sangat mudah disuruh. Benarlah, barangkali di situ ada keberkatan untuk pelajarannya jua. Meskipun saya maklum, kakak saya tidaklah terlalu tegas dan cerewet dalam soal pembelajaran anak-anak.

“ Su a, nanti bawa balik tudung-tudung labuh yang su a dah tak pakai lagi ye. Kami nak pakai. Kasihan Ummi nak beli banyak sangat.…” pesan mereka kepada saya sewaktu pulang baru-baru ini. Allah, kian sayu hati ini sambil mengemaskan beberapa helai tudung labuh ke dalam beg yang ingin dibawa pulang ke kampung. 

Sekilas, teringat pula anak-anak dara k. Ta, iaitu Dania (Tingkatan 1) dan Sufi (tahun 6). Adik-adik ramai yang masih kecil diuruskan dengan baik. Pampers dan susu menjadi teman harian, membantu mama mereka. Sungguh, saya sendiri tak pernah mampu menjadi seperti mereka di usia sementah itu. Saya tidak pasti, apakah suasana yang mendesak mereka menjadi ‘rajin’ sebegitu, tetapi yang saya pasti, mereka tahu hidup ini bukan hanya tempat bersenang lenang, tetapi saling berkhidmat apatah lagi kepada ayah dan ibu tercinta. 

Saya masih ingat sewaktu baru-baru ini membawa Amni, Izzah, Dania, Sufi dan beberapa lagi anak saudara yang masih kecil ke sebuah pasaraya, saya memberikan mereka kebebasan untuk mengambil apa sahaja keperluan asrama yang mereka mahukan, dan akhirnya saya sedar, tiada satu pun di tangan mereka!. Dan mereka menolak mengatakan tidak ingin menyusahkan saya. Seusia mereka sudah tahu budi, yang saya sendiri malu dengan diri ini. Balik ke rumah, saya menceritakan situasi itu kepada ibunya, dan benarlah mereka seringkali risau akan menyusahkan terutama melibatkan wang. " Kadang-kadang perlu ditanya, barulah diberitahu apa yang tidak cukup..." cerita kakak saya. Pernah sekali saya tanyakan " Amni nak handset Su a yang dah tak digunakan ni?" Dia pantas menggeleng sambil dijawab dengan suara rendah bimbang didengari umminya. " Ummi tak bagi.."

Lantas, membawa saya menyelusuri kisah dahulu sewaktu saya di asrama, seringkali tanpa segan meminta itu dan ini dengan ibu ayah untuk dibawa ke asrama.

 Dan sedemikian ramai anak-anak saudara yang lain, tidak cukup untuk ditinta di dalam tulisan yang ringkas ini. Mereka yang kadangkala sering beralah antara satu sama lain, ketika 'berebut' makanan, mainan, jua giliran menggunakan komputer. Juga tak dilupakan, gaduh-gaduh manja tanda mereka masih anak kecil :D

Anak itu benarlah adalah anugerah yang menyejukkan hati. Mereka tak punyai harta berjuta, tapi dikurniakan anak yang nilaiannya jauh daripada sejuta. Mereka tak hidup dalam kesenangan yang berlimpah, namun hati cukup senang dengan keluarga yang sederhana.

Maklum akan cabaran masa kini, saya diasak rasa yang bermacam. Apakah nanti, anak yang bakal lahir ini mampu kudidik dengan baik? Saya terasa seakan lemah tak berdaya. Takut dengan cabaran menjadi ibu. Bukan sekadar ibu, tetapi ibu yang mendidik. Kerana setelah melihat para ibu ini berjuang, saya tahu ia tak pernah mudah semudah melakar tulisan ini. Tetapi penuh dengan jerih payah dan tangisan yang menemani. Sedari anak sekecil tapak tangan, sehingga akhirnya semakin mencecah usia dewasa, cukuplah hanya kepada Allah disandarkan kekuatan dan harapan.

Kalau dulu, kebanyakan masa saya di rumah banyak dihabiskan bersama mereka dengan pelbagai aktiviti bersama, kini setelah saya berkahwin, saya akui banyak yang kian berubah. Masa dan jarak yang semakin mencemburui, apatah lagi tanggungjawab yang sudah berbeza. Namun, doa dan ingatan untuk mereka tak pernah terhenti, kerana mereka antara insan penting yang suatu ketika dahulu cukup akrab dengan diri ini.

Allah, sungguh saya rindu, pada wajah mulus mereka tersenyum. Serta bantuan demi bantuan yang ditawarkan setiap kali pulang ke kampung. Juga saya rindu, akan santun bicara mereka kepada ibu saudara bongsu ini.

Benar, perjalanan masih jauh. Masih banyak yang belum teruji. Jua mungkin masih belum ‘bertemu’ sebenar-benar ‘wajah’ dunia yang akan menguji dan sukar difahami. Namun, bertahanlah kalian. Dunia ini cukup sebentar, moga kesukaranmu menjadi asbab kunci pintu syurga. Allahumma amen.

120914 @ 8.19pm





Sunday, August 17, 2014

EKSPRESI ‘JAWATAN’




" Risau betul kalau suka duduk di samping keluarga je di hujung minggu.."
" Sungguh menyedihkan tidak sanggup bekerja overtime.."
" Kenapa tidak stay lama di pejabat, bukankah kerjaya adalah satu amanah...?"
" Teruknya, bila ada cuti, fikir nak balik kampung sahaja..."

Terngiang-ngiang kata-kata yang menjengah pendengaran sewaktu menghadiri satu kursus baru-baru ini. Benar, tidak dapat dinafikan bahawa besarnya amanah sesuatu jawatan dalam bidang pekerjaan. Sesuatu yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Sekalung rasa hormat dan kagum pada insan yang berkorban masa dan harta dalam bidang kerjaya masing-masing. Semoga ada barakah yang mengiringi setiap usaha yang bersungguh-sungguh sedemikian.

Namun alangkah...kita adalah insan yang sering lupa. Ketika kita bimbang mengenai amanah 'jawatan formal', kita seringkali lupa kita ada banyak jawatan lain yang juga kelak akan dipersoalkan di sana nanti. Jawatan ‘tidak formal’ yang boleh jadi ia lebih besar dan penting. 

Allah SWT telah menganugerahkan kita dengan peranan pelbagai yang perlu dipertanggungjawabkan. Kita juga ada 'jawatan' sebagai anak, suami, isteri, ibu, bapa, sahabat, jiran, saudara dan pelbagai lagi yang tak kurang pentingnya. Justeru, setelah kita berpenat payah di tempat kerja, kita pulang jua dengan amanah lain yang perlu dilunasi. Bukanlah jika kita tidak sudi berlama-lama di sesuatu tempat bererti ia tidak penting, cuma di luar sana masih ada tugas yang perlu dilaksanakan sebagai hamba dan khalifah Allah.
SALING BERSANGKA BAIK
" Risau betul kalau suka duduk di samping keluarga je di hujung minggu.."
Fikirkanlah kembali, mungkin dia adalah seorang ibu yang sedang memikirkan rencana terbaik untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama anak-anak di hujung minggu setelah berhempas pulas di sekolah pada hari biasa. Pada anak-anak mereka ada hak yang perlu dilunasi lebih daripada sekadar menyuap nasi setiap hari.
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا (٩)
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (Surah An Nisaa’ 9)

" Sungguh menyedihkan bila tidak sanggup bekerja overtime.."
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang isteri yang ingin pulang menyediakan keperluan suami kerana menginsafi bahawa ada hak besar pada diri seorang suami seperti yang telah disampaikan oleh baginda Rasulullah.

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ النِّسَاءَ أَنْ يَسْجُدْنَ لأَزْوَاجِهِنَّ لِمَا جَعَلَ اللَّهُ لَهُمْ عَلَيْهِنَّ مِنَ الْحَقِّ

“Seandainya aku memerintahkan seseorang untuk sujud pada yang lain, maka tentu aku akan memerintah para wanita untuk sujud pada suaminya karena Allah telah menjadikan begitu besarnya hak suami yang menjadi kewajiban isteri” (HR. Abu Daud no. 2140, Tirmidzi no. 1159, Ibnu Majah no. 1852 dan Ahmad 4: 381. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pula berkata,
وليس على المرأة بعد حق الله ورسوله أوجب من حق الزوج
“Tidak ada hak yang lebih wajib untuk ditunaikan seorang wanita –setelah hak Allah dan Rasul-Nya- daripada hak suami” (Majmu’ Al Fatawa, 32: 260)

" Kenapa tidak stay lama di pejabat, bukankah kerjaya itu adalah satu amanah...?"
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang lelaki yang telahpun selesai menunaikan amanahnya di sekolah dan ingin pulang berkhidmat kepada masyarakat setempat pula. Di sana sini ada amanah!
" Teruknya, bila ada cuti je, fikir nak balik kampung sahaja..."
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang anak yang ingin berbakti buat kedua orang tua di usia emas mereka dan memilih untuk pulang bertemu mereka dengan lebih kerap. Apatah lagi ada yang memotivasi dirinya bahawa redha Allah itu adalah pada redha ibu bapa sebagaimana hadith baginda Rasulullah SAW : Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.

Ayuh kita jadi insan yang saling bersangka baik, bukan hanya tahu melabel dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Selagi mana tugas yang ada dilaksanakan dengan baik, janganlah cepat memandang buruk kerana kita tidak pernah tahu situasi seseorang yang tidak sama seperti kita. Justeru, ketika kita memilih untuk cemerlang di tempat kerja lebih daripada komitmen di rumah, semoga kita menjadi orang yang berlapang dada dengan mereka yang memilih sebaliknya. Jika kita adalah orang yang memilih untuk cemerlang di rumah lebih daripada kerjaya, semoga kita bersangka baik dengan mereka yang memilih sebaliknya. Dan jika kita adalah insan yang cemerlang di kedua-dua lapangan, bersyukurlah dan teruskan usaha untuk istiqamah memberikan yang terbaik diniatkan hanya kerana Allah.

DEFINISI KEJAYAAN
Tugasan yang banyak dan sukar dijangka di alam pekerjaan tidak sesekali akan membebaskan diri kita daripada tanggungjawab menguruskan kehidupan dan keluarga. Jadilah cemerlang dalam menguruskan kehidupan dunia dengan harapan untuk memperoleh kejayaan di akhirat, itulah kejayaan yang hakiki.
Setiap orang berbeza cara mendefinisi kejayaan dalam hidup. Terlalu besar dan luas maknanya. Semoga Allah meluruskan cara kita memandang amanah di dunia ini dengan sebaik-baiknya, bukan hanya dari kaca mata dunia semata. Setelah kita membuat pilihan akan keutamaan dalam hidup kita, tenang dan serahkanlah kepada Allah, cukuplah Dia menjadi sebaik-baik Hakim yang menilai setiap usaha sepanjang jalan mencari mardhatillah.

Thursday, August 14, 2014

Izinkan hatiku bicara...:)


Izinkan hatiku bicara,
Merungkai apa yang di jiwa,
Apabila saat sukar dan payah menjelma,
Sungguh aku tak lagi berdaya.

Izinkan hatiku bicara,
Memang benar aku wanita,
Yang tampak kuat dan seakan tak punya,
Apa yang sesak di dalam dada.

Izinkan hatiku bicara,
Realitinya aku wanita yang tak sempurna,
Dan sesekali takkan pernah sempurna,
Kerana aku hamba yang tak punya apa-apa.

Izinkan hatiku bicara,
Ada masanya ku henyakkan diri,
Sambil mengeluh duduk di atas para,
Lalu tangan kuhulurkan minta dari Dia.

Izinkan hatiku bicara,
Namun kekuatan takkan ku lupa,
Ada pada wahyu bicara Dia,
Selembar naskhah al Qur’an seakan bernyawa.

Izinkan hatiku bicara,
Dia jua mengurniakan doa,
Sebagai senjata agar kita tak lupa,
Dia lebih dekat adanya daripada sesiapa jua.

Izinkan hatiku bicara,
Mengapa seringkali rasa sukar yang ada,
Menutup mata kita semua,
Daripada nikmatNya yang tak terkira.

Izinkan hatiku bicara,
Dalam saat terasa tak punya,
Kenapa tidak lihat yang lebih tak kuasa,
Kurang di sini sana tetap tersenyum tawa.

Izinkan hatiku bicara,
Syukurilah insan di sisi kita,
Sentiasa kasih dan peduli tak pernah berkira,
Biarpun kita insan kurang segalanya.

Izinkan hatiku bicara,
Bukankah Dia Ilahi sentiasa ada,
Menghulurkan kasih dan cinta sentiasa,
Membuka ruang dan pintu syurgaNya.

Lantas, apa lagi yang kita damba?
Jika bukan nikmat kekal abadi di sana.
Hatiku diam tak lagi bicara,
Ingin bicara hanya dengan Dia.

Nur A'isyah Humaira binti Ismail
12:06 a.m / 140814

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat