Thursday, April 10, 2014

Dunia di hujung jari...



وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (QS.Al Israa. ayat 32)

“Kalau dulu, perlu ‘rajin’ berusaha jika ada keinginan untuk bermaksiat, kini segalanya lebih mudah dan terbentang di hadapan mata”

“Maksudnya?”

“Jika dulu nak mengorat, kena rajin untuk menulis surat dan ke pejabat pos untuk poskan surat cinta itu. Tapi kini, boleh terus sampai melalui sms. Kalau dulu, nak mengintai anak dara orang kena intai di sebalik pohon rambutan, kalau ‘nasib baik’ kena gigit semut je. Kalau tak bernasib baik kena tangkap dengan imam masjid. Tapi kini, dalam bilik sendiri pun sudah boleh menjamu mata dan nafsu dengan kemunculan laman sosial yang tak terkawal, bebas tanpa ada manusia lain yang memerhati…”

Cabaran siber dalam hubungan lelaki dan perempuan bukan mahram
Hubungan lelaki dan wanita di alam siber kini menjadi kebimbangan yang bukan sedikit kepada ibu bapa. Manusia semakin mudah terdedah dengan permulaan zina jika penggunaan laman sosial tidak dikawal dan diselia dengan iman. Malah, lebih membimbangkan apabila mereka semakin terbiasa dengan dosa di alam siber dan tidak lagi menganggap ia sebagai satu dosa yang perlu diresahi.

Lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa segan silu saling berbalas mesej di ruang facebook, whatsapp, kakaochat dan seribu satu nama apps yang menghiasi telefon pintar masing-masing. Malah, mereka hanyut dan saling meluahkan perasaan tanpa bimbang ada sesiapa yang tahu kerana perbualan itu hanya antara mereka berdua. Pada awalnya, sekadar berbincang urusan kerja, kemudian jika tidak dikekang, akhirnya berlarutan kepada mesej-mesej yang tidak perlu. Maka, para wanita mula merasai mereka dilayani dengan baik dan para lelaki merasai mereka sedang dimesrai tanpa sedar. Dan, syaitan mula memainkan peranannya antara mereka berdua. Akhirnya, tanpa sedar menjejaskan berkat dalam kehidupan jika keduanya tidak bertaubat, seandainya benar berjodoh suatu hari nanti.

Namun, Islam menggariskan keringanan dalam beberapa urusan seperti pertunangan. Ketika ini, adalah dibolehkan untuk pasangan yang bertunang untuk saling mengenali antara satu sama lain dalam batas yang telah ditetapkan.

Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini.

Melihat juga membawa erti keduanya untuk saling melihat akhlak dan sifat bakal pasangan. Maka, laman sosial boleh menjadi salah satu cara untuk berhubungan. Namun beberapa syarat boleh diteliti supaya ia tidak menjadi fitnah.

Penggunaan bahasa yang sesuai
Gunakan bahasa yang sesuai dan selayaknya digunakan kepada bukan mahram. Elakkan daripada terlalu menunjukkan kemesraan kerana ia boleh mengundang rasa yang tidak sepatutnya. Bahasa yang digunakan perlulah ringkas dan tidak meleret-leret kepada perbincangan yang tidak perlu. Elakkan juga daripada menggunakan ‘emotions’ dan ‘emoticons’ yang disediakan kerana ia boleh menjadikan keduanya lebih santai dan dibimbangi akan menjadi lebih mesra.

Mendasar kepada objektif
Pastikan juga ada keperluan dalam setiap perbualan dan perlulah terus mendasar kepada objektif. Ini adalah penting bagi mengelakkan daripada keduanya menjadi mangsa syaitan yang menjadikan setiap isu adalah kononnya penting dan dibimbangi akan membawa kepada perbualan yang tidak sepatutnya antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Jaga suara
Gunakan nada suara yang sesuai jika perlu berhubungan melalui panggilan telefon. Jangan sengaja melunakkan suara untuk meraih perhatian si dia. Ini telah ditegaskan melalui firmanNya ;

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (al-Ahzab : 32)

Kekerapan berkomunikasi dan waktu yang sesuai
Kekerapan berkomunikasi adalah satu indikator sejauh mana kita mampu menyelia keinginan dan desakan nafsu yang mungkin mengajak kepada sentiasa berhubung walaupun tanpa keperluan yang jelas. Seseorang yang ingin menjaga imannya, akan mengambil keputusan setelah membuat perkiraan dan berfikir dengan mendalam kerana sesungguhnya wanita merupakan ujian buat lelaki dan begitulah sebaliknya. Selain itu, masa yang sesuai juga boleh mempengaruhi suasana ketika perbualan dan perbincangan. Elakkan berhubung di waktu lewat malam kerana secara fitrahnya ia boleh mengundang rasa tidak selesa antara keduanya. Lebih baik juga sekiranya seseorang individu itu sudah mempunyai masanya sendiri yang ditetapkan sebagai batas dalam perhubungan dengan bukan mahram.

Hijab fizikal dan hijab hati
Ini merupakan aspek yang paling penting dalam pergaulan lelaki dan perempuan bukan mahram. Hijab fizikal adalah dengan tidak melihat gambar secara berlebihan sehingga mengundang syahwat. Manakala, hijab hati pula adalah usaha untuk tidak menerawang kepada perkara yang tidak sepatutnya difikirkan. Antara caranya adalah jangan sesekali masuk kepada perbincangan tentang bentuk tubuh dan aurat seperti rambut walaupun keduanya sudah dalam fatrah pertunangan. Lelaki kena sentiasa berusaha untuk amanah dalam menjaga kehormatan wanita. Bukankah lelaki itu pelindung buat kaum wanita?

Dosa tanpa disedari

Laman sosial seperti facebook juga telah menjadi tempat segelintir daripada para isteri meluahkan masalah rumahtangga. Tanpa disedari mereka telah membuka aib dan rahsia rumahtangga yang sepatutnya diselesaikan secara baik oleh pihak yang terlibat sahaja. Namun, kerana tidak mampu mengawal emosi, wanita biasanya cenderung untuk bercerita dengan orang luar sehingga mengundang amarah suami. Ketika ini, laman sosial boleh menjadi sebab bertambah parah masalah yang sedang dihadapi. Sedangkan, setiap orang bertanggungjawab untuk menjaga aib rumahtangga dan masalah masing-masing.

Lebih membimbangkan, apabila suami, isteri, ibu bapa, anak telah kian mengabaikan tanggungjawab dan peranan masing-masing kerana terlalu banyak masa dihabiskan dengan gajet di mana-mana sahaja. Sehingga waktu makan pun masih suka untuk melayari internet di meja makan. Akhirnya yang jauh didekatkan, namun yang dekat makin terasa renggang dan jauh. Na’uzubillah.

Gunakan sebagai penguat cinta yang halal

Sebagaimana yang kita semua akui, kewujudan pelbagai jenis kemudahan teknologi sebenarnya lebih banyak membawa kebaikan berbanding mudarat yang ada. Ianya bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan individu memanfaatkannya. Justeru, buat ibu bapa, gunakan alam siber sebagai penghubung dengan anak-anak yang mungkin sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Begitu juga anak-anak, sentiasalah bertanya khabar dan menunjukkan keprihatinan kepada ibu bapa yang semakin dimamah usia walaupun jauh di mata. Buat suami isteri pula, jom kita sama-sama memanfaatkan dunia siber sebagai salah satu cara untuk menguatkan ikatan cinta. Sesekali buat panggilan mengejut untuk meluahkan rindu ketika sedang berjauhan, ataupun saling berbalas mesej untuk bertanya khabar ketika bekerja. Manfaatkan juga emoticon untuk menggantikan ekspresi diri ketika mata tak saling menatap kerana kekangan jarak dan masa. Semuanya tersedia sebagai salah satu cara untuk keduanya saling menghargai dan menterjemahkan bahasa cinta. Semua bentuk kemodenan itu menjadi pahala di sisiNya jika dilakukan dalam landasan yang benar dan halal.

Benar, kemodenan merupakan satu penghijrahan kepada kehidupan yang lebih baik. Namun kita tidak boleh menjadikan ia sebagai satu alasan tidak lagi merasa gentar dengan dosa. Segala yang ditawarkan di alam siber seharusnya menjadi penguat iman dan taqwa untuk menuju kepada Ilahi. 

Sebagaimana kita soroti kisah baginda SAW ditawarkan segala keindahan dunia yang ada pada zaman itu. Ketika Rasulullah SAW ditawarkan harta, pangkat dan wanita supaya meninggalkan seruan Islam, baginda bersabda yang bermaksud: “Sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan pekerjaan ini, tidak sekali-kali aku tinggalkan sama ada aku berjaya atau menemui ajal.”. Keimanan baginda SAW tidak tergugat dengan kehadiran dunia yang mempesona.

Buat akhirnya, ketika kita sedang menikmati keindahan dunia, yakinilah kesenangan sebenarnya adalah ketika kita kembali ke tempat yang sebaik-baiknya kelak.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). (Surah Ali Imran: ayat 14)

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat