Tuesday, April 8, 2014

Hierarki Cinta


Hanya lafaz hamdallah diucap sebagai manifestasi rasa gembira dan syukur apabila berpeluang melayani anak-anak saudara semasa pulang ke kampung pada cuti sekolah. Dalam kesempatan waktu yang ada, kami solat berjemaah dan berusrah. Setelah lama tidak berpeluang berkumpul untuk berusrah, kali ini suasana dirasakan berbeza.

“Dah jadi anak dara dah semua anak saudara ni” cetus saya ketika ingin memulakan usrah. Semua yang berusrah berusia antara 13 hingga 18 tahun. Terasa seperti ada banyak perkara yang ingin dikongsi bersama mereka.

Usai berkongsi khabar berita masing-masing, saya mula mengajak mereka menyelusuri beberapa potongan ayat suci al Quran sebagai mukaddimah usrah. Sesekali kami saling membetulkan bacaan. Lebih memudahkan kerana sebahagian daripada mereka merupakan penghafaz al Quran. Setelah itu, saya sengaja membuka ruang untuk kami saling berinteraksi. Supaya lebih santai.

“Macam mana ye, ada kawan kita sedang mengumpat, ketika itu kita tunggu sahaja di situ kerana bimbang mereka tersinggung. Tapi hati tak tenang kerana terlibat sama dengan dosa mengumpat” tanya Izzah sambil mengerutkan dahi. Saya tersenyum sambil minda ligat memikirkan cara mudah memberikan jawapan. Tidak lama, Allah mengilhamkan satu cara untuk menjelaskan cara mereka bertindak membuat keputusan.

Saya melukiskan hierarki cinta di atas sekeping kertas putih. Hierarki bermula dengan cinta Allah diikuti dengan cinta Rasulullah dan cinta sesama manusia.

“Ok baiklah. Konsepnya mudah. Cinta Allah adalah yang pertama, kemudian cinta Rasulullah kemudian barulah cinta sesama manusia..” mereka mengangguk mendengar bicara saya. Syirah dan Amni, yang paling senior dalam kalangan mereka mencatit sesuatu di atas buku kecil yang dibawa.

"Allah suka tak kalau kita mengumpat?” saya bertanya. Mereka menggelengkan kepala beramai-ramai. “ Itu bermakna mengumpat itu sendiri sudah tidak lulus di hierarki pertama. Jadi, tak perlu lagi peduli tentang hierarki seterusnya” saya mengungkap bicara satu persatu. Saya melihat wajah mereka seakan masih sedang cuba menghadam kata-kata saya.

“Pendek kata, tak perlu peduli pada manusia yang tersinggung kerana kita tak ingin terlibat untuk mengumpat sama, asalkan perbuatan itu dalam keredhaan Allah..” saya menyambung sekaligus mereka mengangguk tanda faham.

 “Lagipun sebenarnya jika kreatif sebenarnya ada banyak cara lain untuk mengelakkannya. Mungkin boleh berhelah dengan mengatakan nak undur diri daripada mereka kerana ada kerja dan lain-lain,kan?” saya mengutarakan idea buat mereka. Mereka mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju.

“ Hm, tadi dalam hierarki cinta tu bermula dengan Allah dan Rasulullah. Tapi kan kakak tak pernah jumpa Rasulullah. Macam mana nak cinta?. Lainlah kalau ibu bapa, tiap-tiap hari jumpa” Dania bertanya. Saya terdiam seketika. Soalan yang bagus buat remaja seusia mereka.

“Kata orang, tak kenal maka tak cinta kan? Sebab tu kena kenal dulu Rasulullah, supaya nanti timbul rasa cinta. Nak kenal Rasulullah banyak caranya..” saya mengerutkan dahi berfikir beberapa cara untuk dikongsi.

“Kena banyak baca sirah baginda SAW. Betul tak?” Sufi, yang paling muda dalam kalangan mereka meneka.

“Haa, betul tu. Baca dan  hayati. Kita cuba rasai bagaimana pengorbanan dan perjuangan baginda dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Ingat lagi tak kita pernah ceritakan sewaktu usrah yang lepas tentang kisah Baginda SAW menerima wahyu? Kemudian, cuba kita susuri pula kisah hijrah di Thaif. Ketika itu baginda kesakitan kerana dilemparkan batu. Bila dah kenal, insya Allah pasti boleh jatuh cinta...” saya masih memandang mereka dengan penuh perhatian. Mereka mengangguk mengiyakan.

“Ooo jadi kena banyak membaca. Aduh..” Syirah bersuara. Sengaja perkataan aduh ditekan. Kami semua tertawa kecil. “ Tak boleh shortcut dalam urusan agama, kena ada laluan yang betul untuk kenal Allah dan RasulNya, bukan hanya dengan mengikut cara-cara pelik yang boleh mencalar aqidah..” saya mengingatkan.

“Hm, sekarang isu apa ye yang sedang hangat dibincangkan oleh orang ramai?” saya mengalihkan topik perbincangan.

“MH370!. Pesawat MAS yang hilang pada 8 Mac baru-baru ini ” Amni bersuara diikuti dengan anggukan daripada yang lain.

“Apa kata kita bincangkan hikmah dan pengajaran daripada tragedi MH370 ini?” saya menyoal.

“ Kuasa Allah lebih besar, walaupun hebat mana pun teknologi manusia..”

“ Manusia kena berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari..”

Bertali arus jawapan daripada mereka yang sangat aktif merespon. Saya melemparkan senyuman.

“ Betul tu, tapi yang nak dihighlight di sini adalah mengenai ‘teropong’. Jangan sesekali percaya pada bomoh” saya melontarkan idea disambut ketawa kecil mereka semua. Isu raja bomoh yang meneropong dan kononnya mencari pesawat MH370 yang hilang adalah antara isu yang menjadi sebutan dalam dan luar negara.
“Perbuatan sebegitu adalah dilarang dalam agama kita. Khurafat namanya tu. Meminta bantuan selain daripada Allah. Malah mereka-reka pula kaedah yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama. Paling bahaya, boleh menyesatkan aqidah orang ramai. Jangan sesekali ada terdetik dalam hati rasa percaya dengan apa yang telah dilakukan”

“Ingat hierarki cinta kita tadi kan? Cintakan Allah, bererti menurut segala perintahNya dan meninggalkan apa yang dilarang. Jadi sudah jelas dan terang, amalan perbomohan ini adalah tidak diredhai oleh Allah. Jangan teragak-agak untuk menolak daripada meyakininya. Semoga Allah melindungi kita semua daripada amalan dan perkara-perkara baru yang boleh menyelewengkan aqidah..”

Soalan semakin banyak diutarakan dan dibincangkan bersama. Tidak sedar masa berlalu dengan pantas sekali. Akhirnya saya menutup usrah dengan membacakan hadith baginda Nabi SAW :



Pada suatu hari, Rasulullah saw berdiri berkhutbah di tengah-tengah kami. Kemudian beliau saw memberikan nasihat yang sangat mengesankan, yang menggetarkan hati dan membuat air mata bercucuran. Baginda saw ditanya, “Ya Rasulullah saw, engkau menasihati kami dengan nasihat perpisahan, maka berilah kami amanat.” Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT, dengan mendengar dan taat, meskipun yang memerintahkan kamu adalah seorang budak dari Habsyah. Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada sunnah-ku dan sunnah khulafa urrasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bid’ah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.”

Ya Allah, bantulah kami untuk menjadi hambaMu yang berpegang teguh dengan wahyu dan sunnah baginda SAW sehingga ke akhir usia kami. 

Ameen ya Robb!

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat