Saturday, April 5, 2014

WARKAH YANG BERSUARA


" Eh surat apa ni? " Saya membelek-belek sekeping surat bersampul putih yang saya jumpa sewaktu sedang asyik mengemaskan barang-barang di kampung kerana ingin membawa pulang sebahagian barang penting ke rumah di Kuala Lumpur.

Tanpa bertangguh, saya membuka surat itu perlahan-lahan. 

 " Daripada Mansoura, Mesir…" saya meneliti alamat yang tertera. Minda saya laju berfikir. Oh, rupanya surat kiriman daripada seorang kakak yang ketika itu masih belajar di bumi anbiya'. Saya pula ketika itu masih bergelar pelajar tingkatan dua.

Sejenak, saya dibawa ke alur masa lalu. Ketika masih remaja. Saya masih ingat benar, ketika itu kakak sentiasa mengutus surat buat adik bongsunya ini. Peringatan demi peringatan dinukilkan, buat bekal menempuh alam yang mencabar. Saya membaca surat yang menjadi kenangan itu dengan hati yang bercampur. Bersyukur dan sayu. Perenggan akhir dihayati dengan rasa sebak yang bertandang.

" Adik yang dikasihi.....
Surat ini diutus jauh, kerana hati ini terlalu kasih. Dengannya, hadir kebimbangan yang bukan sedikit. Mujahadah itu tak pernah mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Semoga adik terus kuat berpegang dengan prinsip dan keyakinan dalam usaha untuk menjadi seorang wanita yang solehah...”

Ketika awal usia diperkenalkan dengan tudung labuh, sarung kaki, sarung lengan dan sebagainya, saya sendiri merasakan ia adalah suatu yang sukar untuk diamalkan. Justeru, kerap kali ketika seronok membaca surat yang datang daripada jauh, senyuman terhenti apabila membaca ingatan-ingatan yang 'biasa' didengari.

"Adik, jaga solat..Jangan ambil mudah"
"Adik, jangan lupa jaga aurat baik-baik. Sarung kaki, jangan lupa pakai ye.."
"Jaga diri dik, jaga batas pergaulan.." 

Ah, kenapa peringatan yang sama juga diulang-ulang? 

Dan kini, setelah lebih sepuluh tahun berlalu, hanya Allah yang tahu betapa saya sangat menghargai setiap pesan yang mengiringi waktu remaja. Kerana ketika itu, akal dan minda seorang remaja masih sangat terbatas. Hanya keseronokan dan kepuasan sementara yang menjadi keutamaan. Seringkali, desakan perasaan untuk bersetuju dengan pandangan kawan-kawan lebih besar berbanding keluarga. Malah, seringkali pandangan orang yang lebih dewasa dianggap tidak sesuai, menekan dan sebagainya. Kerana apa? Kerana kami remaja!. Dan zaman kami tidak sama dengan zaman kalian.

Muda bukan hanya sekali
Ketika baru hendak mengenal dunia luar, remaja dihadapkan dengan beribu rencam ragam di alam siber, juga bermacam sikap dan peribadi teman di alam realiti. Walaupun ketika di rumah, mereka telah dibiasakan dengan jadual hidup yang cantik tersusun, namun sebaik keluar menjejak bumi, mereka menemui pelbagai gaya yang lebih menarik dan menyeronokkan.

“ Kami pun nak enjoy..!” suara hati menjerit. Entah bisikannya bermula daripada mana. Suara fitrah yang menginginkan kebaikan ditepis pergi dengan keinginan yang memuncak pada diri.

Kerana itu tidak hairanlah, ketika rakyat Malaysia bersedih dan teruji dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih belum ditemui, ada anak remaja Islam kita yang meninggal dunia di pesta maksiat. Malah, ramai lagi yang berada di tempat yang sama tanpa segan silu berpakaian mencolok mata, bergaul bebas dan meneguk arak. Allah, hati ini bagai disiat-disiat membaca setiap patah laporan mengenai anak remaja yang menjadi harapan mengemudi ummah.

Kerana itu, remajaku. Kami takkan pernah lelah ambil peduli. Kerana kami tahu, silap tingkah yang kalian ambil, tanggungjawabnya sebenarnya terpikul di pundak ini.

“ Muda hanya sekali..Jangan cemburu dengan kami..” suara hati itu menjerit lagi, walaupun tanpa suara.

Muda itu bukan sekali, sayangku. Muda di sini hanya sementara, tetapi muda di sana kekal selamanya. Akan ada tempat untuk kita di sana nanti menikmati keindahan demi keindahan yang dijanjikan. Namun persoalan yang lebih besar? Layakkah kita merasai muda di sana nanti?.

Mujahadahlah remajaku. Kami yang dewasa bermujahadah dengan cabaran hidup kami, dan kalian yang masih remaja, bermujahadah dengan cabaran hidup kalian. Kehidupan ini akan terus berjalan, usia akan bertambah, masa akan beransur pergi, dan semuanya akan berakhir.

Adik-adik remajaku yang dikasihi. Kerana zaman tidak sama, kami menasihati. Kerana zaman kita tidak sama, kami tak lekang memerhati. Kerana zaman kita tidak sama, kami menginsafi bahawa tugas kami takkan pernah terhenti. Malah, kerana zaman yang tidak sama ini, ibu bapa kalian makin diusik resah dan bimbang yang tak bertepi. Zaman ini, segalanya di hujung jari. Tugas mendidik boleh jadi berganti kepada tangan-tangan yang tidak dikenali. Di sana, memang ada tangan yang sungguh peduli kepada ummah, tapi di sana juga ada tangan yang rakus sedang menanti mangsanya.

Maka ketika kalian masih belum mengerti benar akan hitam putih kehidupan, kami menghulurkan tangan, membantu setakat kemampuan, selebihnya kami serahkan kalian kepada Allah yang Maha Menjaga. Sesungguhnya hanya dia sebaik-baik penjagaan.

Warkah bisu yang bersuara

“ Terima kasih kak, kerana sudi mengambil berat dan peduli. Jasa yang tak mampuku mengerti suatu masa dahulu, tetapi kini baruku sedari hikmahnya..” saya bermonolog sambil menggenggam sekeping warkah bisu yang seakan bersuara suatu ketika dahulu. Lantas, warkah itu disimpan rapi, buat kenangan yang tak akan dihapus pergi.

[aisyahumaira 050414]


0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat