Thursday, September 22, 2016

Jiran yang baik

Sejak datang ke sekolah jam 11.30 pagi tadi untuk bermesyuarat, kira-kira jam 4 petang barulah saya berpeluang duduk di atas kerusi melepaskan lelah. Jari jemari mula bergerak membuka mesej whatsapp dan facebook yang belum sempat dijengah sejak pagi. Tiba-tiba fikiran mula teringatkan artikel majalah I yang belum disiapkan untuk dihantar kepada kakak editor yang gigih bekerja dan berdakwah. Sedang asyik berfikir-fikir idea tema penulisan, tiba-tiba whatsapp berbunyi lagi. Kali ini, bunyi notification itu datangnya daripada group whatsapp muslimah kejiranan.

 Weekend ini kita berkumpul makan durian nak? Di rumah saya. Jom!” satu mesej terpampang di ruang whatsapp.

“ Nak, jom!. Saya sediakan pulut dan sediakan serawa durian. Boleh?” mesej tadi bersambut positif.
“ Saya bawa manggis dan buah mata kucing ya..”

“ Kita kumpul duit la ye untuk buat kenduri buah-buahan ni. Kasihan pula nanti tuan rumah, ramai yang nak join ni…”

Dan perbualan berlarutan panjang. Saya yang hanya membaca, mula kecur air liur dengan bermacam cadangan. Akhirnya,saya memberikan ikon thumbs up dan ikon senyum sebagai mewakili diri. Terbayang wajah sahabat-sahabat muslimah di kejiranan yang sangat manis dan ramah. Kakak di hadapan rumah, seorang suri rumah anak lima yang kerapkali menawarkan diri jika perlukan pertolongan. Kakak selang beberapa rumah di sebelah kiri yang selalu mengirim makanan dan kuih. Dan ramai lagi insan-insan bergelar jiran yang berada di sekitar.

Terbayang juga, kemeriahan waktu petang dan hujung minggu anak-anak jiran saling bermain dan bermesra di kawasan rumah. Anak-anak lelaki yang berjalan kaki dan berbasikal ke surau berdekatan beramai-ramai terutama apabila azan Maghrib dan Isya’ kedengaran jelas berkumandang, semuanya adalah suasana yang sangat saya syukuri.

KEDUDUKAN JIRAN DALAM ISLAM

Jiran mempunyai kedudukan yang besar di dalam Islam dan tidak wajar dipandang enteng oleh seorang muslim yang baik. Mengasihi dan memuliakan jiran merupakan salah satu kewajipan di dalam Islam sebagaimana disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW :
 Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” . (Riwayat Muslim no. 45).
Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail Ibn Muhammad Ibn Saad Ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda Rasulullah salallahualaihiwasalam :

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء
Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(Hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 )

Allah swt juga telah berfirman :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ
“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Islam juga telah memberi garis panduan akan keutamaan jiran yang perlu disantuni sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah radiallahuanha: “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

Had lingkungan jiran di dalam Islam dapat difahami melalui kata-kata Khalifah Ali ra yang telah menyebut: “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Ini adalah bermakna, jiran adalah mereka yang berada dalam lingkungan jarak yang dekat yang memungkinkan tetangga dapat mendengar azan daripada masjid yang sama. Menurut Saidatina ‘Aisyah r.a pula, jiran berada dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru rumah. Secara mudahnya, jiran adalah mengikut uruf adat setempat kerana setiap kawasan memiliki adat yang berbeza. Sekurang-kurangnya adalah 40 buah rumah daripada seluruh penjuru.

HAK JIRAN YANG PERLU DIPENUHI

Semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini secara fitrahnya akan hidup bermasyarakat dan saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, kerana itulah Islam sangat mengutamakan keperluan untuk menghormati dan melunasi hak jiran. Antara hak jiran yang dianjurkan adalah :

1. Berkenal-kenalan dan berkasih sayang antara jiran mengikut syariat Islam.

Sabda Rasulullah SAW : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.
(Hadith sahih riwayat Muslim no. 2625). 

2. Menghormati kehidupan berjiran seperti menjaga kebersihan kawasan kejiranan.

3. Mengimarahkan kawasan kejiranan dengan amalan mulia seperti solat berjemaah di surau dan bertegur sapa apabila bertemu.

4. Membantu jiran yang berada dalam kesempitan dan kesusahan, sebagaimana sabda Rasulullah : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”

5. Tidak mencari-cari aib jiran dan menyebarkannya.
6.  Tidak mengajak jiran kepada perkara mungkar seperti mengumpat, memfitnah dan saling mengadu domba.
7. Bersangka baik dan positif sesama jiran.
8. Mengutamakan percakapan dan tingkah laku yang baik semasa bermuamalah.
9. Menjaga rahsia jiran.
10. Bersabar dan menegur dengan hikmah sekiranya perlu ditegur demi kebaikan bersama.
11. Tidak menyusahkan jiran dengan sengaja seperti membuang sampai dalam kawasan rumah jiran.
12. Beradab semasa menziarahi rumah jiran.
13. Tidak mengambil hak jiran (mencuri)
Sabda Rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .(Hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905

MULIAKAN DAN SYUKURI KEHADIRAN JIRANMU

Dalam menyantuni jiran, kita perlu menginsafi bahawa jiran bukanlah malaikat yang sunyi daripada dosa. Pasti ada khilaf dalam tingkah dan kata-kata. Kita perlulah berlapang dada, bertoleransi dan syukurilah kehadiran mereka sebagai insan yang dianugerahkan dalam persekitaran dan kehidupan kita meskipun tiada pertalian kekeluargaan. Ringan-ringankan hati memberi maaf dan menyua maaf dalam berhubungan agar sentiasa kekal baik dan harmoni. Saya menutup tinta mengenai jiran ini dengan sepotong nasyid Sendu Sendawa yang berbunyi :

'Adakah kau tahu siapakah mereka jiran tetangga mu
Pernahkah kau melihat apakah dalam sendu atau sendawa
Kenalilah dan bertegurlah sapa dengan akhlak yang mulia
Hidup berjiran susah dan senang, suka duka dirasa bersama..'
'Jiran tetangga, berkenal bermesra
Jiran tetangga, menganali rakannya
Jiran tetangga, bertanya khabarnya, makan minumnya...semua..
Jiran tetangga, menutup aibnya
Jiran tetangga, doakan mereka

Jiran tetangga, menjaga hartanya, sakit demam nya...'


0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat