Thursday, September 22, 2016

MASIHKAH ADA ESOK?

Saya memandu perlahan, menyelusuri jalan kampung yang belum pernah dilalui untuk menyelesaikan beberapa urusan di kawasan berkenaan sambil sesekali anak mata melihat ke kiri dan kanan. Cuaca kian mendung, menunjukkan tanda-tanda ingin hujan. Saya mengeluh sendirian, risau jika tersesat dalam hujan dan kesesakan lalu lintas dalam perjalanan pulang ke rumah nanti. Bateri telefon bimbit pula sudah kehabisan, tidak memungkinkan saya menggunakan bantuan aplikasi waze, seperti kebiasaannya. Setelah agak lama berpusing di kawasan yang sama, akhirnya saya menemui tempatnya. Rasa lega mengambil alih. Saya menuju ke bonet kereta, ingin mengambil dokumen yang perlu disiapkan di situ.

“Allah…” entah rasa apa yang menjalar dalam hati. Ingin marah, tidak tahu pada siapa. Ingin menyesal, salah siapa?. Dokumen itu tertinggal!. Setelah penat menempuh perjalanan jauh, susah payah mencari tempat, hujan pula mula menampakkan diri dalam rintik-rintik halus, saya tidak mampu menahan sebak. Entah mengapa air mata ini mengalir tanpa dipinta. Saya terkilan, dan sesal. Kenapa saya boleh meninggalkan perkara sebegitu penting hanya kerana terlalu risaukan masa yang suntuk dan tempat yang belum dikenali. Saya melangkah masuk semula ke dalam kereta, tanpa kata. Hanya meneruskan kembali perjalanan pulang ke rumah, sambil menahan rasa sesal yang belum reda.
Menyesal.

MENYESAL

Pernahkah dalam kehidupan, setelah terjadinya sesuatu, ada rasa sesal yang menghantui. Tidak kiralah sama ada perkara itu berlaku setelah diri kita sendiri yang memilih, ataupun berlaku tanpa kerelaan.
Menyesal, kerana tidak memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
Menyesal, kerana sudah berada di tahun akhir jurusan sains, sedangkan minat pada sastera.
Menyesal, kerana mengisi borang penempatan di Johor, sedangkan hasrat sebenar ingin tinggal di kota Kuala Lumpur.
Menyesal, kerana ditaqdirkan menjadi pelajar perubatan, dan terpaksa mengharungi kesukaran demi kesukaran di alam pekerjaan.
Menyesal, kerana berhenti daripada minat dan kerjaya yang stabil suatu ketika dahulu sedangkan kini hidup dalam serba kekurangan.
Menyesal, memilih untuk berkahwin sedangkan merasa perkahwinan tidak memberikan kebahagiaan sebagaimana yang pernah diimpikan.

Renungilah sebaris kata daripada Dr ‘Aidh al Qarni yang menyebutkan “Allah SWT menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua perkara yang saling berlawanan, dua kubu yang saling berhadapan dan dua pandangan yang saling bertentangan, yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagian dengan kesedihan.”

Sebagai hambaNya yang serba lemah dan tidak tahu, kita seringkali ‘terpaksa’ menghadapi ‘kubu’ kesilapan yang menjadikan ada rasa sesal yang bertandang tanpa dijemput. Biarpun kesilapan itu berupa sesuatu yang berkait dengan hanya diri sendiri ataupun orang di sekeliling. Natijahnya, kesilapan ini mungkin membuahkan kesan yang positif atau sebaliknya dalam kehidupan yang dilalui seharian. Namun jika kita bertindak hanya untuk mempertahankan diri agar sentiasa tampak sempurna dalam setiap pilihan, kita sebenarnya hanya memilih untuk menjadikan diri kita lemah ketika kita diuji dengan kesilapan hasil daripada ‘keputusan yang disesali’ itu. Sebagai contoh, kita mungkin akan lemah ketika diuji dalam bahtera perkahwinan yang dahulunya kita impikan begitu sempurna umpama dua insan bercinta. Sedangkan kita perlu hadamkan bahawa dalam setiap pilihan yang telah kita pilih, sebenarnya adalah celupan aturan taqdir yang telah Allah SWT tetapkan dalam alur perjalanan seorang insan. Biarpun ia hadir bersulamkan kesukaran dan cabaran tersendiri.

Memilih untuk percaya dan mengimani taqdir Tuhan sebagai aturan yang terbaik, lebih daripada hanya merasa diri kita yang tersilap memilih suatu ketika dahulu akan menjadi suatu kekuatan yang terus melonjakkan keyakinan dan usaha untuk terus bangkit biarpun jatuh berulang kali. Kita mungkin disua kata “ Kalaulah begini, kalaulah begitu….”, sedangkan siapa tahu sebenarnya memang itu adalah jawapan doa kita saban masa yang sedang dikabulkan oleh Allah dalam rencanaNya yang sungguh cantik dan tersusun sempurna. Sedangkan anak mata kita yang kecil itu tidak pernah mampu memandang apa yang ada di belakang mata, bagaimana mungkin aqal kita yang terhad ini mampu ‘membaca’ semua kerja Tuhan yang Maha Besar.

Justeru renungkanlah, jika penyesalan yang hadir itu dirasa tidak berguna pada sebuah kehidupan yang lebih bermakna dan positif, apa perlunya untuk menyesal?

Adakah semata-mata untuk berkeluh kesah? Menyesali taqdir? Mengugat iman dan keyakinan?

Alangkah malangnya!

Namun, sekiranya ‘penyesalan’ itu adalah sesuatu yang positif yang mampu menjadikan kita kembali membetulkan keadaan serta menginsafi dosa pastinya ia adalah sesuatu yang berbeza.

KEMBALIKAN KAMI
Sesungguhnya setiap penyesalan yang dirasai di dunia ini bukan sebenar-benar penyesalan sebagaimana di akhirat kelak ketika semua sesalan langsung tiada lagi gunanya. Malah, pendosa yang sedang menanti akan datangnya azab Allah ini merayu-rayu agar dikembalikan ke dunia bagi menebus segala masa yang telah dibazirkan suatu masa yang telah berlalu. Namun, pastinya tiada lagi ruang kedua.

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Surah as Sajadah ayat 12)

Begitulah jua yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Az-Zumar 58 dan 59.

“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan! Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!”
Untuk menghindarkan diri dari sesalan yang berpenjangan itu, renungilah sedalamnya titipan ayat cinta daripadaNya ini melalui Surah az Zumar 54 dan 55,  “Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. “Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

MASIHKAH ADA ESOK?

Esok, saya akan kembali semula ke tempat itu, andai panjang usia akan ada kesempatan untuk menyelesaikannya. Mengapa perlu sebegitu sesal? Sedangkan masih mungkin akan terhampar peluang yang kedua. Nafas panjang ditarik, esok-esok di ‘sana’ nanti, sesal dan air mata langsung tiada guna. Takkan ada peluang kedua untuk kembali ke dunia. Agaknya bagaimana rasa sesal yang tiada bernoktah itu?

Allahu Allah, peliharalah kami dan kurniakanlah kami hidayah untuk terus bernafas dengan penuh ketaatan hanya untukMu.

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat