Thursday, March 20, 2014

Hanya untuk Dia...


“ Sejuknya..” dia bersuara perlahan. Nafasnya ditarik panjang. Dalam. Akhirnya dilepaskan beserta keluhan kecil. Saya diam, membiarkan dia mencari ketenangan sendiri. Kami berjalan menyelusuri pantai dengan kedinginan senja. Usai berprogram, dia meminta agar saya menemaninya berjalan-jalan di sekitar pantai.

“ Kenapa pantai ini begitu baik? Membiarkan sahaja ombak terus menerus menghempaskan kemarahannya. Aneh!” dia terus bermonolog. Saya tahu, ada sesuatu yang ingin diluahkan. Namun, saya memilih untuk membiarkan dia sendiri yang merasa selesa untuk bercerita. “Awak tahu kenapa?” dia memalingkan wajah. Bertanya.

“ Saya pun tidak pasti. Cuma, boleh jadi awak melihatnya sebagai kemarahan. Tetapi pantai ini merasainya sebagai satu kepuasan?” saya berbicara.

“ Puas? Puas dipergunakan?” nada suaranya memprotes.

“ Puas apabila merasa tidak keseorangan. Puas apabila merasakan ombak itu masih sangat memerlukannya.” Saya cuba merenungi hikmahnya. Dia terdiam. Ada air mata yang bergenang di kolam mata.

“ Cara kita melihat sesuatu membezakan cara kita mengendalikannya…kerana itulah setiap orang diberikan ujian yang berbeza, dan hanya insan yang diuji tahu cara terbaik menanggapinya” saya masih berbicara perlahan. Antara dengar atau tidak setelah suara dibawa pergi oleh bunyi ombak. Dia berhenti berjalan. Badan kami kini menghadap lautan yang dalam. Kedinginan senja menambahkan lagi rasa tenang yang menjalar ke segenap ruang tubuh.

“ Saya sudah penat berbuat baik. Tapi saya tak pernah rasa kebaikan saya dihargai. Saya penat bertahan. Saya penat menangis. Saya ingin pergi. Pergi jauh daripada kehidupan ini..Untuk apa saya berbuat baik sedangkan mereka semakin menekan dan memaksa saya ” dia semakin beremosi. Tangannya menahan tudung yang disapa angin petang. Saya faham kini, masalah yang pernah diceritakan olehnya mengenai keluarga angkatnya yang melayani dia dengan teruk masih belum selesai. Namun, dia masih bertahan kerana ibu angkatnya yang sedang sakit perlu dijaga.

“ Awak nampak pokok kelapa itu?” saya menudingkan jari ke arah sebatang pokok kelapa yang bergoyang ditiup angin yang kuat.

“ Dia mungkin sakit, ditiup kuat oleh angin. Malah mungkin ‘penat’ bergoyang tanpa henti. Tapi pokok itu tetap setia. Tidak tumbang. Kita mungkin tak pernah peduli tentang ‘kesakitannya” tetapi kerana pengorbanannya, kita dapat melihatnya malah menikmati pemandangan itu sebagai salah satu simbol keindahan yang ada di sekitar pantai ini. “

“Seringkali pengorbanan yang kita lakukan tak akan dipeduli, ataupun jika dipeduli sekalipun, tampak remeh dan mudah, namun kita sebenarnya bahagia apabila pengorbanan kita dirasai oleh mereka,kan?” saya menarik tangannya lalu menggenggamnya. Erat. Ada rasa yang sukar dimengerti melihat gadis tabah ini.

“ Kerana itu, dalam setiap kebaikan, niat dalam hati perlu diperhalusi. Setelah beribu kilometer perjalanan kebaikan, pasti telah berjuta pahala dikurniakan oleh Tuhan. Namun, jika niat tidak disandarkan hanya kepada Dia, alangkah ruginya!. Ada hadis Rasulullah yang masyhur telah memperkatakan tentang niat. Maksudnya, sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan atau disertai dengan niat dan sesungguhnya keatas setiap seseorang itu dibalas berdasarkan niat mereka ” saya menyelitkan sebuah hadith baginda SAW di dalam perbualan kami.
“ Kita boleh buat kebaikan untuk dipandang manusia, namun malangnya kita akan putus asa setelah manusia tidak mengendahkan. Kita juga boleh buat kebaikan untuk dipuji manusia, namun kita akan terhenti setelah manusia mengeji. Kita juga boleh buat kebaikan untuk diganjari manusia, namun sayangnya jika tidak ada ganjaran kita akan kecewa. Lalu jatuh dan sukar untuk bangkit semula…” saya memandang wajahnya yang mendengar dengan penuh perhatian.

“ Hm, hanya kerana Allah? Bagaimana?” Gadis ini bertanya jujur.

“ Hanya kerana Allah, apabila kejian dan cacian manusia tak akan menghentikan kita daripada terus berbuat baik. Malah, menjadi satu lonjakan untuk kita semakin banyak memberi kebaikan. Pujian manusia pula bukan asbab utama untuk kita terus membuat kebaikan. Puji atau keji, semuanya tak berbekas untuk diri.” Saya mengolah maksud ayat yang lebih kurang sama yang pernah ditulis oleh suami di laman facebook.

“ Tapi kita semua manusia biasa, yang penuh dengan khilaf dan silap. jika ada harapan yang tersisa untuk dipandang manusia, betulkan kembali, mujahadahlah. Pasti akan ada pertolongan dan kekuatan yang datang daripada Dia. Tidak ada manusia yang sempurna…” saya kembali menyingkap realiti, sebagai seorang manusia.

" Kita mencari-cari di mana kekuatan untuk mendepani semua cabaran. Sedangkan hakikatnya, keyakinan dan kebergantungan kita kepada Allah itulah kekuatan yang sebenar. Daripada situ, kita belajar mencari jalan keluar dan bersangka baik dengan aturan Dia.." saya menyambung bicara,  mengingatkan diri sendiri sebenarnya.

“ Terima kasih awak. Benar, ada ketikanya saya rasa cukup kuat berjalan mendepani realiti kehidupan saya. namun ada kalanya, saya rasa seperti lemah dan tewas. Ketika ini, bisikan-bisikan syaitan seolah mengambil posisi. Saya jadi ingin berputus asa. Kerana itu,saya senang untuk berbicara, meluahkan yang terpendam dan mendapatkan nasihat. Walaupun mungkin nasihat yang sama terpaksa awak ulangi..” dia kelihatan semakin stabil. Sungguh, saya kagum dengan kebolehannya mengendalikan emosi di usia yang masih muda namun dengan cabaran hidup yang bukan sedikit.

“ Kerana kita wanita, emosi sentiasa menjadi teman baik kita. Ada suatu masa nanti, mungkin saya pula yang mencari awak untuk meluahkan masalah. Itulah antara sebab kenapa Islam mengutamakan persaudaraan, kan?” saya memandang wajahnya. Dia mengangguk mengiyakan.

Akhirnya kami sama-sama diam. Sambil terus berjalan di atas pepasir pantai. Sesekali pandangan dialihkan ke arah pulau yang kelihatan jauh.

“ Saya tidak pernah mempunyai sahabat sejati..tempat meluah dan menyandarkan harapan. Selain awak..” dia bersuara memecah keheningan.

“ Ada…suami awak suatu hari nanti. Dia akan jadi teman sejati. Jauh lebih dekat dan akrab berbanding saya tau!” saya cuba mengubah suasana.

“ Eh, itu lambat lagi la” Dia terkejut. Akhirnya kami tertawa kecil. Saya merenung wajahnya yang mula tersenyum. Benarlah, seringkali kita melihat seseorang yang serba sempurna di mata kita, namun di sebalik kisah hidupnya, ada sejuta garisan yang merintangi. Saya memuhasabah diri. Ujian setiap orang pasti berbeza. Dan cukuplah hanya Allah menjadi tempat bergantung. Akhirnya, saya menulis sebuah nukilan untuk diberikan kepadanya.

SETIAP MATA YANG MEMANDANG ITU BERBEZA

Ada yang melihat tabir senja petang itu mendamaikan,
Berdiam menghayatinya suatu kebahagiaan,

Ada yang melihat deru ombak itu meralitkan,
Menghela nafas di tepiannya suatu kebahagiaan,

Ada yang melihat pelangi itu menyenangkan,
Menantinya setelah pergi titis hujan suatu kebahagiaan.

Kerana,
Pandangan itu milik setiap insan,
Melihat dunia daripada mata hatinya,
Tidak hairanlah jika ada dua jiwa ditimpa ujian sama,
Namun, menanggapinya dengan cara berbeza.

Taqdir Ilahi akan terus berjalan,
Melewati hari menemani sisa nafas,
Sedangkan insan terus diberi pilihan,
Ingin mengeluh atau menyukuri.

Duhai jiwa,
Biar terus segar mengharap cintaNya,
Tunduk bersujud di bawah langitNya,
Bertasbih memohon keampunanNya,
Dalam hempas luka dan dosa kepadaNya.


Duhai jiwa,
Cintailah dunia dan isinya seadanya,
Kerana ia tidak lama,
Rinduilah pertemuan dengan cinta abadi,
Di sana nanti dengan haruman syurgawi.



aisyahumaira 200314 

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat