Saturday, March 15, 2014

Kerana dia, ada kamu.


" 9 bulan ibu kamu tak dapat tidur lena. Mengiring ke kanan tak selesa, kiri pun tak selesa. Makan pula tak berselera. Bayangkan, berat tau bawa kamu dalam perut lama-lama. Bila bersalin pula, sakitnya ditanggung demi untuk melahirkan kamu. Sebab tu kamu semua kena jadi anak yang baik" itulah antara kata-kata saya sebagai muqaddimah sesi pengajaran pada kali ini. Saya memandang mereka seorang demi seorang yang sedang duduk dalam separa bulatan mengelilingi saya di hadapan kelas. Kebetulan, tajuk yang perlu diajar kepada kelas tahun 1 ini adalah mengenai adab kepada ibu bapa.

“Ustazah, saya rasa sedih..." seorang murid mencelah. Air matanya bergenang.

" Kenapa?"

" Sebab saya selalu buat dosa kat ibu saya" dia menyambung. Suaranya lirih.

Subhanallah, insan kecil berusia 7 tahun ini memang tulus hatinya. Cepat tersentuh dan terkesan dengan cerita yang didengari seperti dosa dan pahala. Kerana itulah, kasih sayang ibu juga sangat kuat dirasai oleh anak-anak kerana kasih sayang itu telah ditunjukkan kepada mereka sejak kecil lagi.

CINTA TANPA SYARAT
Seorang ibu, cintanya tak pernah terbatas. Sekalipun jika ada banyak kekurangan seorang insan bergelar ibu, tetap tak mampu mengatasi senarai panjang jasa dan pengorbanan yang dilakukannya. Kerana itu, jasa seorang ibu sentiasa dijulang di hamparan wahyu sebagaimana firmanNya di dalam surah al Isra’ ayat 23 Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya 


Kesusahan dan kepayahan yang dialami tanpa kompromi sepanjang tempoh kehamilan sahaja sudah menjadi jasa yang tak mampu dibalas. Setiap keletihan dan kesakitan menjadi saksi kasih dan cinta buat sang anak permata hati. Tiada keluhan berat dilepaskan, tiada kata cacian dilemparkan, hanya titipan doa buat Ilahi agar setiap kepayahan yang dilalui diganti dengan ganjaran pahala daripadaNya. 

Semasa proses kelahiran, dengan kudrat lemah seorang wanita, si ibu berjuang sehabis daya supaya anak selamat dilahirkan. Dan segala kesakitan dihapus pergi dengan tangisan anak kecil yang menjengah pendengaran. Air mata ibu akhirnya menitis lagi buat kesekian kalinya. Setiap yang dialami oleh ibu pasti ada keistimewaan di sisNya sebagaimana yang terangkum di dalam firmanNya yang mulia.

وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
Ertinya: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu”. (Luqman: 14)

Bermulalah kehidupan seorang ibu untuk meneladani keperluan anak yang dicintai. Sakit demam diambil peduli. Rajuk dan tangis dipujuk berkali-kali. Hanya untuk memastikan permata hati membesar dengan sebaiknya. Biarpun sesekali diuji amarah dan emosi, si ibu tetap unggul menjadi pelindung dan pendidik sejati. Kerana emosi seorang ibu adalah kekuatan untuknya terus berbakti. Tidak dapat dinafikan, keutamaan seorang ibu adalah melebihi seorang bapa dalam beberapa aspek terutama ketaatan anak-anak.

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w lantas bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku berbuat baik dan mendampinginya. Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Bapa kamu. (Hadith Muttafaq ‘alaih)

KERANANYA, ADA KAMU.
Dengan izin Allah, di rahimnya kamu menumpang. Dengan rahmat Allah, di pangkuanmu kamu dilindungi. Dengan kasih sayang Allah, di atas usaha dan pengorbanannya kamu membesar. Justeru, dalam nafas yang masih bersisa, lepaskan keegoan yang membelenggu dan tariklah dia ke dalam pelukanmu. Ucapkanlah bicara sayang yang melunakkan hatinya, agar tiada penyesalan jika suatu masa nanti wajahnya kaku tak mampu lagi menunjukkan reaksi. Genggamlah jemarinya agar tiada penyesalan mengiringi ketika genggamanmu tidak lagi disambut olehnya. Berdoalah teman, buatnya yang sungguh menyayangimu. Sebagaimana yang diajari di dalam tuntunan wahyu.

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil" (Al-Isra’: 24).

Mencintai dan berbakti buat ibu adalah satu kebaikan yang sangat besar buat semua insan. Daripada Abi Abd al-Rahman Abd Allah bin Mas’ud r.a. telah berkata: Seorang lelaki telah bertanya baginda Nabi s.a.w apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah s.w.t? Baginda bersabda: “Solat apabila tiba waktunya (di awal waktu)”. Kataku: Kemudian apa lagi? Sabda baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Kataku: Kemudian apa lagi? Sabda baginda: “Berjihad di jalan Allah”. (Hadith Muttafaq ‘alaih)

BUATMU BONDAKU
Setelah melewati hari-hari setelah bergelar isteri, saya titipkan nukilan hati buat bonda sebelum bonda pulang ke kampung setelah beberapa hari sudi menziarahi anaknya ini.

Bonda,
Izinkanku menyulam kata,
Dengan diulit kasih tak sudah,
Izinkanku merayu madah,
Dengan rindu merimbun di jiwa.

Bonda,
Masih segar bertamu di ingatan,
Sabarnya bonda waktu kecilku,
Tangis dan tawa bersilih ganti,
Rajuk dan senyum mengisi hari.

Bonda,
Mana mungkin untukku lupa,
Pada senyuman indah dibibirmu bonda,
Mendamaikanku yang sedia mencuka,
Bila keinginanku tak terpenuhi olehmu.

Bonda,
Takkan mampu kubiarkan pergi,
Nasihatmu berhikmah penuh kasih,
Yang sentiasa kau tutur tanpa jemu,
Setiap kali diriku mengadu itu dan ini.

Bonda,
Tiada yang lebih istimewa,
Hidangan seharian santapan keluarga,
Yang tidak lengah walau sekali,
Percayalah cintaku,
Air tanganmu tiada tandingannya.

Bonda,
Sungguh dirimu amat istimewa,
Sentiasa mengurusi keperluan kami,
Dengan penuh jiwa keibuan,
Membantu ayahanda membesarkan kami.

Kami tahu bonda,
Bukan tidak pernah hatimu terusik,
Kami akur bonda,
Bukan tidak pernah air matamu menitis.

Kerana itu...
Terimalah bonda,
Jambangan mawar cinta kuhulurkan,
Bersama makna sejuta maaf kau sudikan,
Buatku yang sentiasa khilaf dan salah,
Padamu bondaku yang sangat berjasa.

Bonda,
Kini taqdir membawaku ke dunia baru,
Yang sangat asing lagi misteri buatku,
Terima kasih kunci syurgaku,
Atas redha jua restumu.

Ku pohon doa tulusmu bonda,
Moga jalan yang ku lalui ini,
Menatijahkan syurga di dunia,
Lebih-lebih lagi syurga di sana nanti.

Dan tika ini,
Hanya mampuku doakan,
"Ya Allah, kurniakanlah bondaku syurga,
Atas kebaikannya kepadaku yang tak mampu untuk ku balas..."


Ameen ya Robbal 'Alamin.
[aisyahumaira0803.blogspot.com]

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat