“ Subhanallah, indahnya mendengar kisah Saidatina Aisyah ini. Sungguh mempesona!”
Saya mengangguk mengiyakan luahan rasa daripada anak saudara yang dikasihi usai saya menceritakan kisah keilmuan seorang wanita solehah ini. Seperti biasa, jika berkesempatan pulang ke kampung, saya akan melapangkan masa untuk berusrah bersama anak-anak saudara yang sedang meniti usia remaja.
“Jalan hidupnya tak jua
terbentang dengan mawar dan harumannya, meskipun disatukan dengan seorang suami
yang sempurna. Kerana syurga itu menagih pengorbanan dan perjuangan yang tak
mengenal erti putus asa” saya teruskan bicara setelah melihat wajah mereka yang
semakin ingin tahu.
Bukankah kita seringkali menekuni
ayat al Quran ini ;
Apakah kamu
mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana
halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan
kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya
pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. [2:214]
“Seperti kisah hadithul ifki
kan? Beliau diuji dengan ‘kesakitan’ menghadapi fitnah dunia. Namun tulusnya
hati seorang muslimah yang ikhlas, akhirnya beliau dibebaskan dengan kebenaran
wahyu Tuhannya” salah seorang daripada mereka menyuakan contoh.
Terbayang sorotan peristiwa hadithul ifki,
iaitu peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah, yang berlaku selepas Perang
Bani Mustalik. Beliau telah difitnah dengan Safwan bin Mu’atthal, kerana pulang
dengan menaiki kenderaan beliau. Fitnah ini dimulakan oleh seorang munafik, Abdullah
bin Ubai bin Salul, yang sudah lama menyimpan dengki dengan Baginda SAW.
“Ya benar. Kisah fitnah yang
mengusik sisi maruah seorang wanita yang suci. Namun dengan kasih sayangNya,
dirinya dibersihkan jua. Malah, kisah ini terus subur sehingga ke hari ini
sebagai satu petanda yang tak diragui lagi bahawa beliau adalah seorang yang
terpelihara.”
Seringkali kita melihat ‘sayang’
dan ‘cinta’ Allah itu hadir dalam bentuk anugerah kebahagiaan dan kesenangan. Malah,
bibir lebih ringan menyebut kalimah hamdalah ketika memperoleh nikmat yang nampak
zahir di mata manusia. Namun, jika diteliti dengan lebih tekun dan mendalam, ‘sayang’
dan ‘cinta’ Allah jua adalah apa-apa yang hadir dalam episod kehidupan yang
mampu membawa diri lebih akrab dalam mengabdikan diri kepadaNya. Kerana itulah,
fitnah kepada Saidatina Aisyah ini jua adalah satu bentuk kasih sayang Allah
kerana dengan ujian ini, beliau menjadi makin utuh dan yakin keimanannya kepada Allah. Sehingga beliau nekad hanya akan mengucapkan syukur kepada
Allah yang membebaskannya daripada fitnah itu.
Saidatina Aisyah juga merupakan
seorang yang sangat berjasa dalam bidang keilmuan Islam. Manakan tidak, beliau
sungguh istimewa kerana tumbuh membesar dalam pangkuan Rasulullah SAW. Banyak hadis
yang diriwayatkan oleh beliau sehingga menjadi rujukan para sahabat baginda
SAW.
Antara ucapan Saidatina Aisyah
r.a yang menjadi bukti kemuliaan yang dianugerahkan kepada dirinya adalah saat turun wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad SAW :
“ Aku pernah melihat wahyu turun
kepada Rasulullah pada suatu hari yang sangat dingin sehingga baginda tidak
sedarkan diri, sementara keringat bercucuran daripada dahi beliau” HR Bukhari.
Sebagai isteri, beliau juga memiliki
keistimewaan untuk bertanya langsung kepada suami yang dicintainya. Antara buktinya
adalah melalui ungkapan perbualan beliau bersama Rasulullah SAW.
“ Aku bertanya kepada Rasulullah
tentang ayat “ Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan
dengan hati yang takut.......” (QS Al Mu’minun:60)
“ Apakah yang dimaksudkan dengan
ayat di atas adalah para peminum khamar dan pencuri? Baginda menjawab, “ Bukan,
puteri As Siddiq! Mereka adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedeqah
tetapi takut ( amal mereka tidak diterima). Mereka menyegerakan diri dalam
kebaikan tetapi mendahului (menentukan sendiri) kebaikan tersebut.” HR Ibn
Majah dan Tirmidzi.
Dialah Ummul Mukminin Saidatina
Aisyah yang diibaratkan laksana lautan ilmu yang luas dengan keperibadian yang
unggul namun masih berpijak di bumi realiti. Pada keunggulannya, ada kisah
manja berlumba lari dengan sang suami, menjadi contoh teladan buat para suami
dalam melayani isteri. Malah pada keunggulannya jua, ada kisah cemburu yang
menjadi makna bahawa ia adalah sifat lumrah seorang wanita.
Terasa sayu membaca kisah detik
terakhir pemergian Rasulullah di pangkuan Saidatina Aisyah yang bertuah. Kisah
ini diceritakan oleh beliau “Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke
atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara
dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa
kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke
bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah
(s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar
bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku
bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun
mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya
keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk
kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun
bersugi dengannya”
Subhanallah.
Dalam dingin senja dan ditemani
titis hujan yang baru turun membasahi bumi, saya mengarang sebuah nukilan. Bahawa
diri ini meminjam nama beliau yang terpuji dan dicintai Nabi, namun akur masih
terlalu jauh daripada mencontohi keperibadian mulia yang menjadi teladan
merentasi zaman itu.
AKU BUKAN AISYAH
Aku bukan seorang Aisyah,
Yang tinggi ilmunya kebanggaan Rasulullah,
Namun aku A'isyah,
Meraih ilmu dalam sukar dan payah.
Aku bukan seorang Aisyah,
Kuat jiwanya dengan pengorbanan yang tinggi,
Namun aku A'isyah,
Belajar bermujahadah menghadapi ujian duniawi.
Aku bukan seorang Aisyah,
Yang luas jasanya menebar kepada ummah,
Namun aku A'isyah.
Yang bertatih mencari amal dalam kemampuanku.
Aku bukan seorang Aisyah,
Yang wajahnya dipandang sungguh mempesona,
Menjadi kecintaan baginda Al Amin,
Namun aku A’isyah,
Yang ingin menjadi penyejuk mata,
Dan menyenangkan hati sedaya mampuku.
Aku bukan seorang Aisyah,
Dikirim perintah Tuhan untuk diperisterikan Nabi,
Namun aku A’isyah,
Ditaqdirkan Dia untuk menjadi isteri dalam
kekuranganku.
Aku bukan seorang Aisyah,
Digelar Humaira’ ketika dimanjai Nabi,
Namun aku A'isyah,
Diberikan Humaira di akhir
namaku.
Sungguh,
Aku bukanlah
Aisyah yang sungguh sempurna,
Cemburunya
menjadi penghibur hati Nabi,
Karenahnya
menjadi penguat cinta Nabi,
Ilmunya
menjadi kebanggaan Nabi,
Jasanya
menebar luas kepada seluruh ummat Nabi,
Sehingga wahyu
Tuhan turun untuk membersihkan dirinya,
Seorang
Aisyah yang sungguh terpuji.
Kerana,
Aku hanya
seorang A’isyah,
Yang jauh
daripada sempurna,
Namun dikurniakan
Tuhan untuk bernafas,
Diikat
dengan iman dan islam sebagai anugerah,
Kerana itu aku
punyai impian dan keyakinan,
Dengan izin
dan petunjuk Tuhan ar Rahman,
Bahawa
diriku, akan tenang dalam kasihMu.
aisyahumaira 030514 @ cheras
0 comments:
Post a Comment