Saya merenung anak-anak murid yang sedang membuat
latihan pada lembaran kerja yang disediakan. Wajah-wajah suci yang baru
berkenalan dengan dunia huruf dan nombor. Sedang berjuang menelaah
perkara-perkara baru dalam kehidupan. Ketika awal-awal dahulu, saya akui ada
tekanan yang dirasai untuk mengajar murid-murid tahun 1 memandangkan guru yang
perlu bersungguh-sungguh memastikan mereka dapat menguasai pembelajaran kerana
mereka sendiri biasanya masih belum menyedari peri pentingnya ilmu di seawal
usia 7 tahun. Saya teringat ketika ingin mengajar bab wudhuk tempoh hari.
“Hari ni kita akan belajar sunat dalam berwudhuk ye.
Ok, semua dah tahu maksud sunat?” saya bertanya.
“Tahu, ustazah…” mereka menjawab beramai-ramai.
“Alhamdulillah. Baiklah, apa maksudnya?
“Sunat khas untuk budak lelaki je. Bukan perempuan tak
payah..” seorang murid lelaki menjawab sambil tersipu-sipu menahan malu. Yang
lain mengangguk-angguk.
“Alamak!” saya tersenyum sendiri. Nampaknya ada
tugasan untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang definisi sunat terlebih
dahulu. Dan hakikatnya, bukanlah mudah untuk memberikan mereka kefahaman yang
benar tentang sesuatu yang baru mereka terokai.
Mendidiklah daripada hati
Saya tahu tugas seorang guru tidak kelihatan mencabar seperti bidang
professional yang lain. Namun, setelah berkecimpung di dalam bidang ini,
cukuplah hanya Allah yang menjadi saksi bahawa tugas mendidik insan adalah satu
tugas besar yang tak pernah berpenghujung. Ada hasrat yang mendorong diri untuk
tak pernah lelah di dalam bilik petak yang mungkin dipenuhi dengan 45 orang
kanak-kanak itu. Hasrat yang lahir daripada kasih sayang anugerah Tuhan. Hasrat
untuk melihat wajah-wajah suci itu tumbuh membesar dengan iman dan keyakinan
kepada Allah. Lantas, setiap huruf diajar dan setiap kalimah diulang-ulang,
supaya mereka mendapat sentuhan yang terbaik. Apatah lagi, amanah besar ini
adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan di sana kelak.
Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya
diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang
takutkan Allah hanyalah para ulama.”
(Hadits riwayat Ath-Thabarani)
Maha suci Allah kerana telah meninggikan darjat manusia yang berilmu.
Ilmu telah memuliakan manusia di sisi Allah, dan juga disenangi di sisi manusia
yang beriman. Banyak atau sedikit ilmu bukanlah halangan, tetapi kesungguhan
untuk menyebarkan ilmu Allah kepada manusia lain dengan jalan yang betul
merupakan satu kebaikan yang dijanjikan ganjaran pahala. Malah, seluruh makhluk
di bumi turut mendoakan kebaikan buatnya sebagaimana yang digambarkan dalam
hadith ;
Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadah adalah seperti kelebihanku
ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian baginda bersabda lagi
: Sesungguhnya para malaikat, dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut
dalam lubangnya beserta ikan berdoa untuk orang-orang yang mengajar kebaikan
kepada manusia ( Hadith riwayat At Tirmidzi).
Subhanallah berbahagialah wahai jiwa-jiwa yang mendidik dan mengajarkan
kebaikan. Kerana seluruh makhluk sedang mendoakan kebaikan buatmu! Justeru,
jangan rebah dengan keringat, jangan tewas dengan amarah, bangkitlah dan suburkan
kembali motivasi untuk terus memberi.
Terima kasih murabbiku
Ya Allah, sungguh besar jasa mereka yang telah
mendidikku. Meskipun ku tahu diri ini tidak mampu membalas setiap jasa mereka,
namun kuyakini rahmat dan kasih sayangMu pasti sentiasa subur buat mereka.
Di akhir coretan ini, ingin ku kalungkan sejuta
penghargaan dan rasa kasih buat semua guru yang pernah mengajarkan diri ini
bermula daripada tulis baca. Walau di manapun kalian berada, sesungguhnya jasa
dan pengorbanan itu sentiasa tersemat di dalam hati. Satu huruf yang diajar,
menjadi asbab untukku mampu melakar tinta ini. Terima kasih cikgu. Doaku,
semoga Allah mengganjari setiap usaha dengan pahala berganda.
aisyahumaira 180314 @ cheras
0 comments:
Post a Comment