Monday, February 16, 2015

Kekalkanlah antara kami CINTA



" Seronok tengok awak dan 'kakak' awak. Nampak rapat. Boleh keluar sekali, jalan sama-sama, berprogram bersama suami, raya sama-sama di kampung. Siap pakai baju sedondon. Susah nak jumpa tau. .." seorang sahabat saya membuka bicara sewaktu saya sedang memandu, melewati kesesakan lalu lintas pada petang yang sejuk dengan hujan renyai-renyai. Saya diam, menoleh padanya sekilas sambil tersenyum. Hanya lafaz hamdalah sebagai respon kepada pandangannya.

" Sejujurnya, saya sendiri rasa tak percaya apabila melihat kalian berdua ni. Hmm iyalah, dulu ibu saudara saya pernah berpoligami, tetapi..." dia meneruskan bicara. Wajahnya yang tadi tersenyum, bertukar suram.

Saya masih diam, seakan dapat membaca 'skrip' seterusnya yang ingin diceritakan. Begitulah, sebagaimana biasanya yang dilihat dan dialami kebanyakan orang. Kami meneruskan perbualan, sekadar perlahan-lahan tidak terlalu serius sementelah sudah penat berprogram sepanjang hari.

Usai menghantar sahabat ke rumahnya, saya sendirian memandu pulang ke rumah. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang, hasrat hati berkira-kira ingin singgah membeli bahan basah untuk memasak makan malam itu meskipun tubuh masih penat dan mata sudah semakin mengantuk. Tidak lama, saya menerima whatsapp daripada 'kakak' yang dimaksudkan dalam perbualan tadi. " Kak Ina ada kirimkan makanan pada abang untuk bawa balik tadi, Aisyah tak yah masak ye petang ni. Kasihan Aisyah, dah penat seharian. Jammed pulak tu on the way balik.." Saya membaca tulisan beserta beberapa emoticon yang menyenangkan.

Saya tidak tahu rasa apa yang harus digambarkan. Dia sentiasa ada ketika saya memerlukan. Dia sentiasa membantu dan menghulurkan pertolongan. Wajahnya yang manis tersenyum sungguh menyenangkan. She is my sister-wife!

ALLAH PEMILIK HATI

Saya mula merasa kasih kepadanya ketika kali pertama kami bertemu. Malah sebelum ada 'ikatan' antara kami, kami sudah beberapa kali bertemu. Ketika itu juga saling meluah rasa. Bertemu atau berbual di telefon. Berusaha untuk saling mengenal, sebelum menginjak masuk ke dunia baru.

Kekuatan apakah yang meresap dalam hatinya, untuk meneladani saya sebegitu mesra meskipun ketika itu realiti bahawa dia perlu berkongsi suami semakin hampir. Apa yang dapat saya bayangkan ketika itu adalah, kekuatannya pada sujud dan doa saat berduaan dengan Khaliqnya. Saya tidak tahu. Itu rahsia dirinya, yang tidak semua diceritakan kepada saya.

Cukuplah yang saya tahu, dialah "Khadijah" di hati suami kami, dulu, kini dan tiada galang ganti selamanya. Dialah seorang 'ummi' yang telah meredhakan anak-anak yang dilahirkannya mengasihi saya sebagai seorang 'mama'.

Saya teringat suatu ketika dahulu perbualan bersama seorang teman. " Dia sudah beristeri, tetapi katanya dia tidak bahagia dengan isterinya. Sebab itu dia melamar saya..." sahabat itu memandang saya, meminta respon dengan persoalannya. Barangkali mengharapkan respon positif daripada saya.

" Awak yakin dia akan bahagiakan awak? Jika isteri yang sedia ada sudah tak mampu untuk dibahagiakan, saya tidak nampak bagaimana dia boleh membahagiakan keluarga baru...maafkan saya. Saya tidak rasa seorang lelaki yang menceritakan keburukan rumahtangga sedia adanya adalah seorang lelaki yang baik. Dia sepatutnya berubah dan perbaiki dahulu apa yang sudah ada...Buktikan kemampuannya sebelum berfikir untuk berkahwin lagi..." saya cuba menahan rasa yang mengusik hati dan sedaya upaya mengatur bicara, agar tidak keterlaluan menyinggung perasaannya. Namun, saya tetap tidak boleh bersetuju dengan tindakan lelaki itu.

" Awak dulu macam mana?" Dia cuba mengorek cerita. Saya senyum dan membalas ringkas.

 " Cukup saya katakan, sejak sebelum berkahwin sehingga sekarang, tidak ada secebis perkara negatif pun yang keluar daripada mulut suami mengenai kakak madu saya, hanya semuanya kebaikan yang diceritakan, yang menjadikan hari ke hari, saya kian mengasihinya sebagai teman.." 

" Awak tak cemburu?" dia masih ingin bertanya. 

" Ketika sebelum berkahwin, masih belum ada cemburu yang terlalu menganggu. Bila selepas berkahwin, mestilah suami lebih bijak apabila berbicara untuk menjaga hati antara kami...Tetapi saya percaya, poligami akan menjadikan seorang suami lebih menghargai dan mengasihi isteri pertama kerana cinta, kebaikan dan pengorbanan sekian lama.." saya ingin menghentikan perbualan kerana tidak selesa untuk terus bercerita kisah kami.

Dalam hati saya menjawab "Saya cemburu. Siapa yang tak cemburu!" saya senyum sendirian.

TEAMWORK

Poligami, adalah suatu teamwork. Suami atau para isteri, memegang peranan masing-masing. Namun, tidak dapat dinafikan, suami adalah pemegang peranan yang paling besar, dalam mengurus dan mengemudi keluarga. Suami yang bertaqwa, sentiasa berhati-hati dan 'takut' kepada ALLAH, dalam memastikan segalanya dalam landasan keadilan yang diajarkan syarak. Suami yang tidak jemu menasihati dan membimbing para isteri dengan penuh kasih agar mencintai ALLAH lebih daripada segalanya. Suami berperanan untuk super sensitive dengan perasaan dan emosi para isteri dan juga tidak melupakan tanggungjawabnya pada anak-anak yang memerlukan perhatian seorang ayah meskipun perlu menggiliri dua atau lebih keluarga. Suami yang bijak memanfaatkan masa yang ada, agar kualiti menjadi keutamaan berbanding kuantiti. Banyaknya senarai tugas seorang suami, tidak cukup untuk dinukil dalam catatan ini. Saya teringat suami pernah menyebut " Kalau sebelum ini kita kagumi Rasulullah dan sifat sabarnya, bila berpoligami, pastilah bertambah fahamnya kita akan maha agungnya sifar sabar baginda Nabi dan isteri-isterinya. Baginda cemerlang di dalam rumah dan luar rumah. Fizikal dan spiritual"

Walaubagaimanapun, di pihak para isteri, perlulah sentiasa saling membantu untuk memudahkan suami menjalankan semua tanggungjawabnya. Tidak rugi menyenangkan tugas suami, kerana yang bahagia adalah hati sendiri juga. Sebagaimana tidak rugi menyenangkan hati madu, kerana yang tenang adalah jiwa sendiri juga.

Saling bersangka baik adalah antara kunci utama. Tidak perlu cepat mengadu kepada suami sekiranya ada tingkah yang tidak menyenangkan, sebaliknya berbincang antara keduanya terlebih dahulu. Percayalah, dengan itu ikatan akan lebih padu dan kasih sayang akan lebih tertanam dalam hati keduanya. Jangan cepat terpedaya dengan hasutan syaitan yang akan menganggu keharmonian sesebuah rumahtangga. Selain itu, bercakaplah tentang perkara baik dan saling memuji antara satu sama lain di hadapan suami. Bersabarlah dengan 'masa-masa' moody satu sama lain, dan berikan masa dan ruang untuk kembali pulih. Sebagai manusia biasa, ada masanya kita memerlukan ruang sendiri, untuk bertenang dan memuhasabah, justeru saling menghormati masa masing-masing adalah salah satu cara meningkatkan kasih sayang dan kefahaman antara keduanya. Tolak ansur dan saling memahami keperluan masing-masing juga adalah sangat diperlukan bagi mengekalkan keharmonian rumahtangga poligami. Antaranya adalah untuk saling bertolak ansur dalam hal giliran dan sebagainya yang teknikal untuk dicatatkan. 

Jangan dilupa, hebatnya senjata kuasa doa. Madu dan anak-anak madu adalah umpama sebahagian daripada diri dan kehidupan kita. Sebagaimana kita mendoakan kebahagiaan untuk diri kita, maka bermakna kita juga perlu mendoakan untuk diri mereka. Begitulah uniknya sebuah rumahtangga poligami, kita tidak hanya memikirkan diri 'kita' tetapi ada 'mereka' yang mengisi tempat dan ruang dalam setiap perkara termasuklah dalam doa seharian.

MENGURUS PERSEPSI

Benar, dengan secebis pengalaman bergaul dengan beberapa wanita lain yang berpoligami, tidak semua antara mereka saling menerima taqdir poligami ini. Bagi isteri kedua, bersabarlah dan santunilah isteri pertama yang dalam fasa bertenang untuk menerima dugaan perit ini, bantulah mereka setakat yang termampu. Begitu juga sebaliknya. Ditambah pula dengan persepsi tidak enak dalam kalangan masyarakat, juga tanggapan negatif sebahagian orang yang hanya tahu mencari-cari silap dalam poligami, menjadikan mereka yang terlibat semakin sukar bangkit mendepani kehidupan yang luar daripada kebiasaan ini. Mereka tiada tempat meluah rasa, tiada insan tempat menyandarkan bahu ketika ujian melanda. Sedangkan perkahwinan biasa bergelar monogami juga ada ketikanya diuji.

Poligami memang bukan mudah, ia menuntut tanggungjawab yang besar untuk suami dan pengorbanan perasaan yang tidak sedikit dalam kalangan para isteri. Namun, sebagaimana ujian-ujian yang lain bagi setiap individu yang berbeza, ia menagih kesabaran dan keyakinan agar segala ujian dapat ditempuhi sebagai penguat keimanan. Poligami atau monogami, semoga kalian yang diuji dengan perkahwinan dikurniakan kekuatan dan ketabahan. Semoga ia menjadi asbab kepada ganjaran pahala yang mencurah-curah sebagai bekal kehidupan abadi di sana nanti. Sesungguhnya, dunia ini hanyalah tempat sementara, cinta manusia hanyalah wasilah untuk mencari redha ALLAH semata-mata.

Apa jua tanggapan orang ramai, tidak menjadi penghalang untuk kita merasai barakah dan ketenangan. Kerana ALLAH Maha Adil, meletakkan sesuatu pada kadar yang mampu untuk ditanggung oleh hamba-hambaNya. Ya ALLAH, berikanlah kami petunjuk dan kekuatan untuk mengurus dan mendepani persepsi mereka yang tidak memahami.

Saya sendiri menulis dalam keadaan berbelah bagi. Saya tahu isu ini sensitif. Apatah lagi dalam kalangan mereka yang bergelar satu-satunya isteri, mereka yang tidak biasa dengan poligami, atau mereka yang pernah berpengalaman buruk dengan dunia berkongsi suami ini.

" Saya tidak menolak poligami,asalkan bukan suami saya.."
" Ala awak senanglah cakap, awak bukan isteri pertama..."
" Bolehlah awak cakap macam tu, sebab suami awak mampu..."
" Realiti tak seindah tulisan.."

Dan bermacam lagi tanggapan, yang pernah didengari. Sebolehnya, saya cuba bersangka baik, dengan harapan ada sesiapa yang boleh mengambil manfaat daripada tulisan sederhana ini.

RESAM MANUSIA BIASA

Biarpun dinukil serba indah, realitinya kami jua manusia biasa yang tidak akan pernah sempurna. Terkadang silap tingkah, jua bicara. Terkadang diuji pada emosi dan perasaan sendiri. 

Kami jua ada saatnya 'jatuh', namun tidak lama untuk kami kembali bangun dan berpaut. Kami ada jua ketikanya saling 'cemburu', tandanya ada cinta pada suami yang kami kasihi. Namun tidak lama untuk kami saling mengatur maaf dan membalas senyuman. Kami jua ada masanya tersalah sangka dan silap memahami, namun tidak lama untuk kami kembali saling berdakapan dan membetulkan keadaan.

Kesemua ujian, meluaskan cara untuk memandang kehidupan dan memberikan insan yang lemah ini pelajaran baru setiap hari dalam fakulti perkahwinan di universiti kehidupan ini. Cukuplah hanya ALLAH dan RasulNya menjadi sandaran, ketika susah dan senang. Dan terima kasih yang terutama buat suami yang sangat penyayang, yang sentiasa sabar dan bijak meneladani para isteri, wanita yang tidak pernah sunyi daripada dijerut emosi sendiri. Terima kasih buat kedua ibu bapa kami yang tak putus mendoakan kebahagiaan rumahtangga istimewa ini, doa mereka tiada hijab menemui Allah Taala. Terima kasih buat anak-anak yang soleh solehah, yang mendoakan ummi dan mama agar terus berjuang dalam kehidupan sementara ini.

TUHAN, KEKALKAN ANTARA KAMI CINTA

Ya Allah, kekalkanlah antara kami perasaan cinta.
Agar dengan cinta itu, kami akan terus saling berpimpinan,
Menelusuri taman nan indah dan jalan berduri,
Dengan keimanan dan keyakinan tak berbelah bahagi.

Ya Allah, kekalkanlah  antara kami perasaan cinta,
Agar dengan cinta itu, kami akan terus menguatkan,
Jalan dakwah dan perjuangan suami,
Yang sangat kami cintai dan kasihi.

Ya Allah, kekalkanlah  antara kami perasaan cinta,
Agar dengan cinta itu, kami akan terus berusaha,
Mendidik anak-anak kami,
Menjadi saham di akhirat nanti.

Ya Allah, kekalkanlah  antara kami perasaan cinta,
Agar dengan cinta itu, kami akan terus berdoa,
Agar dikurniakan ketenangan dan keberkatan,
Bergandingan di dunia, berbahagia di syurga!

Ameen.

8:33 PM 160215
ST Utama

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat