Monday, February 16, 2015

ANTARA ANUGERAH DAN CABARAN


“ Rindunya waktu-waktu dahulu ketika boleh makan dengan berselera…” saya bersuara meluahkan apa yang terpendam. Hampir sebulan ‘perut’ ini tiada rasa ingin menjamah makanan, biarpun seenak mana makanan yang terhidang. Hanya roti dan biskut menjadi menu harian, itupun setelah dipaksa makan walaupun sedikit agar tubuh mampu bertahan.

“ Patutlah seorang anak kena taat pada ibu dan jangan menderhakai ibu lebih daripada seorang ayah kan? Besar pengorbanan seorang ibu…” bicara suami menghadirkan sedikit kekuatan pada keadaan badan yang semakin lemah. Seringkali senyuman boleh terukir bersahaja mendengar setiap patah kata daripada dirinya.

‘ Amanah’ ini hadir dengan kesyukuran dan kebahagiaan yang tak terungkap. Namun ternyata ia juga tidak datang percuma, namun berpakej lengkap dengan air mata dan kelelahan yang tak pernah dirasai sebelumnya. Banyak yang berubah sekelip mata, tidur yang mudah menjadi sukar, wangian yang digemari sudah menjadi sebaliknya, kek kesukaan pun tidak mampu lagi untuk dijamah walaupun sepotong. Dunia seakan kian kecil dan sempit.

“ Rasa sukar dan sakit ini juga pasti ada ganjaranNya di sisi Allah. Lebih penting lagi, ia boleh menghadirkan rasa syukur atas nikmat sihat yang sekian lama Allah kurniakan…” suami menambah bicara. Saya mengangguk mengiyakan meskipun ia bukan mudah kerana badan ini pertama kali merasakan perubahan sebegini. Entahlah, serba tidak kena rasanya!

Setelah sekian lama Allah kurniakan kesihatan, sehingga mungkin kita terlupa sihat itu adalah nikmat. Setelah sekian lama Allah anugerahkan selera yang baik, sehingga mungkin kita terlupa selera itu adalah satu nikmat. Malah, setelah sedari lama dulu dikurniakan pelbagai macam kebaikan dan kesenangan, kita lupa untuk mensyukurinya setiap satunya. Dan hati tetap jua cenderung untuk menghitung kesusahan yang sebentar dan berpenghujung tidak lama lagi. Sedangkan bukan sekali dua diri ini membaca peringatan wahyu daripada Dia, bahawa dunia ini ladang ‘cabaran’ bagi hamba-hambaNya yang beriman. Sebagaimana yang difirmankan di dalam surah Al Ankabut “ Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?”

Sesekali terkenang nun jauh di bumi Ghazzah, namun dekat di jiwa umat Islam sedunia, alangkah ‘kerdilnya’ terasa diri ini ketika bibir menuturkan soal belas dan kasihan kepada mereka kerana peperangan yang sedang dihadapi. Sedangkan ‘cabaran’ itu menjadikan mereka kuat dan akrab dengan Tuhan, malah membuka ruang syahid yang dijanjikan syurga. Sewajarnya kita yang perlu ‘cemburu’ kerana mereka sedang rindu untuk bertemu Allah dan disambut ribuan bidadari yang juga merindukan mereka. Sedangkan kesenangan yang sedang kita nikmati di bumi ini boleh jadi menutup mata dan hati daripada melihat jauh ke jendela akhirat sana.

HANYA KERANA ALLAH

Saya teringat kata-kata seorang ulama’ Imam Hassan al Basri yang indah untuk direnungi. Kata-katanya berbunyi : ‘Semoga Allah merahmati seorang hamba yang merenung sejenak sebelum melakukan suatu amalan. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka ia melakukannya. Tapi jika niatnya bukan kerana Allah maka ia menghalangnya.’

Justeru, setiap apa yang dilalui dan dirasai, biarnya berpijak di bumi Allah, berterbangan jua di langitNya. Agar tak jauh tersasar daripada jalan untuk kembali kepada Dia. Ketika disapa sepoi angin ujian, berpautlah kepadaNya. Dan ketika dihentak kasar taufan ujian, bertahanlah hanya kerana Dia. Kerana Dia adalah cinta yang sejati, kasih dan rahmatNya tidak bertepi buat hamba yang beriman, malah dijanjikan pula bahagia nan abadi di sana nanti. Bukan semata bersandarkan kasih dan pujian sesama manusia di dunia yang tidak lama. Saya merenung lagi bicara Iman Hassan al Basri untuk dikongsikan bersama : “Wahai anak Adam, juallah duniamu untuk akhiratmu, niscaya kamu untung di keduanya, dan janganlah kamu jual akhiratmu untuk duniamu, kerana kamu akan rugi di keduanya. Persinggahan di dunia ini sebentar, sedangkan tinggal di akhirat sana sangatlah panjang.”

Kalaulah ketika kita bangun pagi, dan melapangkan waktu untuk merenung dengan ikhlas dan penuh penghayatan. Subhanallah, Maha Suci Allah yang masih memberikan pinjaman nafas untuk kita. Itulah salah satu nikmat besar yang menjadi tanda bahawa Allah masih menyediakan ruang untuk kita mencari bekal amal soleh dan insaf akan dosa-dosa yang lalu. Jua menjadi peluang untuk kita memaknai kehidupan dengan lebih cemerlang menurut acuan hati yang fitrah. Kita sebenarnya tak pernah tahu, bahagian mana dalam kehidupan kita yang menjadi asbab untuk kita menjadi ahli syurgaNya. Terasa berat menyebut syurga kerana tahu kerdilnya diri ini untuk menyimpan hasrat menjejaknya. Namun, tetap ia bukan alasan untuk kita melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini sebaiknya.

Impian-impian kita kadangkala menutup mata hati kita daripada mengejar yang kekal di sana nanti. Impian-impian kita jua biasanya hanya tersekat pandangnya di dunia semata. Alangkah ruginya, jika saatnya penyesalan tak lagi berguna, ketika itu segala impian hancur musnah dan peluang kedua tiada lagi.

Kalaulah jua pada malam hari sebelum menutup mata....kita sudi merenungkan lagi, seandainya masih ada esok untuk diri ini, semoga esok itu adalah hari yang lebih baik dan barakah. Hari untuk menyebarkan kasih sayang dan kebaikan, kepada seluruh insan kesayangan dan sesiapa jua. Ketika ujian bertamu, biarlah didepani dengan seluruh keyakinan di dalam hati, bahawa Allah sentiasa ada dan mengabulkan doa hambaNya.

Malam itu sebelum masuk tidur, saya sempat menjenguk laman mukabuka, lantas pandangan terhenti pada status terbaru yang ditulis oleh si dia yang dikasihi.
Bahagia tidak akan terasa gembira tanpa rasa kecewa,
Sihat tidak terasa nikmat tanpa rasa sakit,
Kaya tidak akan terasa bersyukur tanpa mengalami kemiskinan,
Senyuman tidak akan dihargai tanpa wujudnya wajah masam,
Justeru, musibah & kesusahan itu datang agar kita lebih menikmati, bersyukur, sedar, insaf dan kembali kepadaNya.


Benarlah, setiap kesusahan tidak datang sia-sia, melainkan padanya ada nikmat untuk kesyukuran dan keinsafan.  Dengan semangat yang hadir malam ini, belum tentu diri ini akan bertahan esok hari. Namun, dengan kasih sayang Dia yang tak bertepi, esok akan pasti mampu ditempuhi. Terima kasih ya Allah, atas ‘anugerah’ dan ‘cabaran’ ini!

Nur A’isyah Humaira binti Ismail

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat