Monday, February 16, 2015

JAUH TETAPI DEKAT


“ Abang pergi dulu ya..” perlahan suara suami menuturkannya sambil meletakkan tangannya di atas ubun-ubunku, lantas membacakan doa seperti kebiasaannya sebelum dia keluar rumah. Seawal sebelum subuh menampakkan diri, dia sudah perlu bergegas ke lapangan terbang, melunasi tanggungjawab di luar negeri.

Bukan kali pertama. Ya, bukan kali pertama tetapi setiap kali itu jua rasa sayu menerjah. Tidak bolehkan lewat sedikit keluar? Hatiku mendesah. Soalan yang diketahui pasti sudah berjawab oleh diri sendiri. Hati wanita agak terganggu pagi ini, mungkin kerana seminggu dua ini jadualnya agak padat berbanding biasa. Hanya senyuman tawar yang mampu diukir mengiringi pemergiannya pagi itu. Padahal bukannya lama, hanya sehari dua sahaja sebelum kembali bertemu wajah. Sedangkan ada suami isteri lain yang terpisah jarak dua benua, kerana tuntutan tugas dan sebagainya. Tak dapat saya bayangkan perasaan mereka para isteri namun saya yakini Allah meletakkan mereka dalam batas kemampuan yang pasti mampu untuk ditempuhi.

Usai pemergian, saya berteleku lama di atas sejadah sementara menunggu azan subuh.  Sambil tangan mengusap perlahan teman yang ada di hening pagi ini, seorang bayi yang kian membesar di dalam rahim. Fikiran saya menerawang jauh. Kenapa saat ini segalanya seakan sukar dihadam sedangkan sejak awal pernikahan, saya sudah maklum akan tanggungjawabnya pada ummah, di luar rumah. Jua tanggungjawabnya pada para isteri, dalam menggiliri dua keluarga dengan adil dan penuh kasih.

Hati sendiri, cukup berseni. Hinggakan diri sendiri pun perlu masa untuk memahaminya. Sekeping hati kurniaan Ilahi.

Kenapa harus berkira-kira tentang masa yang tidak banyak, sedangkan masa bersama di rumah sentiasa digunakan untuk melayani keluarga dengan sebaiknya. Kenapa harus berkira-kira tentang kesibukan, sedangkan masa untuk keluarga, pulang ke kampung, menghadiri walimah dan sebagainya sentiasa ada dan menjadi keutamaan dirinya untuk kami. Kenapa harus berkira-kira tentang masa yang tidak banyak di mata insan, tetapi sakit demam tidak pernah tidak dipeduli. Kenapa harus berkira-kira tentang masa yang telah pergi, sedangkan ketika ini di masih di sisi, menjadi imam dan pelindung kami. Kenapa harus berkira-kira tentang masa hadapan, sedangkan segalanya masih misteri belum pasti.

Dan kenapa harus berkira-kira tentang rutinnya untuk agama setiap hari, sedangkan setiap usaha penat lelahnya jua akan kembali pada kami, jika tidak di sini, di sana nanti. Kenapa dan kenapa? Sedangkan suatu ketika dahulu, diri ini yang sudi untuk menyenangi, setiap usaha dakwah oleh si dia yang dicintai kami.

Bunyi notification daripada telefon bimbit berbunyi yang dimaklumi daripada suami yang sudah mula dirindui walaupun baru setengah jam dia pergi.

“Abang sudah sampai airport, Alhamdulillah..” ringkas makluman suami tanpa sebab mengundang air mata. Saya menaip sesuatu, meluahkan kemaafan dan perasaan, seorang wanita biasa yang lemah. Alhamdulillah, akhirnya kelegaan mengambil alih keresahan, setelah segalanya disandarkan dalam sujud pada Ilahi, juga menerima suntikan semangat daripada dia yang sedang bekerja di luar sana. Senyuman diukir pasti pada pagi ini lantas membisik “ Redhakanlah hatiku ya Allah, untuk menjadi penguat pada perjalanan suamiku sementara masih ada sisa nafas yang dipinjamkan olehMu.…”

Berjauhan, bukanlah alasan untuk tidak saling ‘mendekat’. Saling mendekat dalam doa dan ingatan. Saling mendekat dalam cinta dan kasih sayang. Saling mendekat dalam perhatian dan kebimbangan. Apabila bertemu, masya Allah nikmatnya cukuplah hanya Allah yang tahu, pemilik segala kerinduan. Namun jika kita yang memilih untuk berjauhan dan saling ‘menjauh’, lantas membiarkan perasaan marah menguasai diri, meletakkan emosi melepasi keimanan, meredhakan sangka buruk daripada sangka baik, alangkah ruginya. Kerana apabila bertemu, ada ‘rasa’ terpendam yang mengunci dua jiwa daripada saling melerai rindu. Rindu tetapi tenggelam dalam kemarahan, rindu tetapi ego meluahkan dalam lenggok yang disenangi si dia, rindu tetapi membiarkan sangkaan buruk mengambil tempat ketika ruang bersama. Sekaligus, membawa pergi perlahan-lahan rasa kasih hanya kerana ‘ungkapan’ rindu yang silap diekspresi ketika si dia dekat dan jauh

Gunakanlah masa-masa berjauhan untuk saling memuhasabah cinta. Muhasabah cinta dengan Tuhan, berdua-duaan dengan Dia dalam meluahkan nikmat dan kepayahan seharian. Jua muhasabah cinta antara dua insan, masihkah ia dalam landasan menuju kepada Dia. Semoga berjauhan yang ‘ditaqdirkan’ oleh Allah itu menjadi ingatan bahawa segala yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman sebagai ujian ketaatan termasuklah insan yang dicintai. Dan semoga berjauhan itu akhirnya muncul menjadi kekuatan untuk mengecas kembali penghargaan antara suami dan isteri, ibu dan ayah, adik beradik, jua sesama teman. Agar apabila bertemu nanti, penuh dengan cinta dan pengertian.

Benarlah, hati ini milik Allah dan pasti akan hanya mampu difahami sepenuhnya oleh Dia, berdoalah agar dikurniakan kekuatan, agar terhasilnya iman yang mampu melonjakkan keyakinan pada setiap ujian Tuhan dan menjadi asbab kian akrab dengan jalan-jalan ketaatan padaNya. Setelah jatuh, bangkitlah. Dan jika jatuh lagi, jangan serik untuk bangkit lagi. Allah subhanallahu taala sentiasa ada untuk para hambaNya.

Ada dan dekat. Lebih dekat daripada urat nadi kita sendiri. Sebagaimana yang difirmankan di dalam surah al Baqarah 186 ;

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)..”

Ada temanku pernah menukilkan,
Di sini tempat ujian dan perjuangan,
Bukankah cinta para pejuang,
Sekejap di sini, berlama-lama di ‘sana’.
Allahumma ameen!

NUR A’ISYAH HUMAIRA BINTI ISMAIL



0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat