Tuesday, December 29, 2015

Seorang lelaki

Kehidupan suami isteri adalah kehidupan untuk saling melengkapi, saling menghulur tangan dan berpimpinan kala sukar dan senyum.

Seorang isteri, adalah jantung sebuah rumahtangga. Yang menjadikan rumah itu hidup dan bernyawa. Namun, jantung tetap hanya mampu berdenyut pada kadarnya, agar tak kurang dan lebih dan mengundang 'sakit' nan berbahaya.

Menulis daripada perspektif seorang isteri, saya percaya seorang suami yang soleh adalah suami yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah terbaik dalam kepimpinan. Baginda mengemudi bahtera kehidupan bernama rumahtangga. Baginda, lelaki terhebat dalam sejarah manusia, namun tetap seorang suami dan ayah yang sentiasa merendah diri.

Isteri yang solehah, menawarkan diri melakukan semua kerja di rumah sementelah seorang suami yang soleh sedang berjuang dalam melunasi nafkah jua tanggungjawab pada keluarga dan ummah. Namun, seorang isteri yang 'jujur' pasti mengimpikan suami yang bersama-sama berjuang di dalam rumah, sebagai suami dan ayah. Agar kelak tiada hari-hari dia kembali menyebut-nyebut kesukaran dahulu kerana merasa bersendiri melakukan banyak perkara, dalam batas kudrat seorang wanita yang lemah. Agar kelak dia tidak menagih semula balasan, atas apa yang pernah dikorbankan untuk keluarga.

Suami yang soleh sebenarnya akan merasa 'bangga' dan 'puas', apabila mampu melatih diri 'turun padang' bersama-sama isteri dalam menguruskan rumah dan lebih-lebih lagi pada anak-anak. Dia adalah seorang lelaki yang diajak bersama oleh isteri untuk membantu dalam kadar kemampuan yang ada. Dia akan merasa bahagia, mampu meringankan serba sedikit apa yang tergalas di bahu isteri meskipun tidak banyak. Dan dia sedang meraih pahala yang banyak, menyantuni ahli keluarga tercinta.

Lebih daripada itu, apabila dia bersama-sama merasai kesukaran dan cabaran menguruskan rumah, dia akan menjadi seorang suami yang lebih empati, merasa apa yang dirasai sang isteri saban hari. Dan daripada empati ini, lahirlah kelembutan, cinta dan penghargaan yang menjadi antara faktor penambah rencah bahagia.

Suami perlu dibantu, dihadiahkan senyuman dan diberikan penghargaan. Dia bukan tidak tahu, dia cuma perlu diberitahu dan dibiasakan, agar dia memahami apa yang diperlukan oleh isteri. Perkara yang sudah biasa pasti tidak akan lagi menjadi suatu beban dan kesukaran. Suami adalah lelaki hebat,yang memiliki kekuatan fizikal dan emosi dan dikurnia Tuhan jawatan sebagai pemimpin. Kerana itulah, semua nabi dan rasul juga adalah dalam kalangan lelaki. 

Seorang lelaki tidak akan lemah hanya kerana membantu mengemaskan katil di waktu pagi sebelum meninggalkan rumah, menyidai kain di ampaian, dan membasuh pinggan usai digunakan. Juga tidak akan nampak lemah hanya kerana menjaga dan mendukung anak ketika keluar di tempat awam. Malah inilah lelaki yang pastinya akan menjadi kebanggaan Nabi, dan layak menjadi qudwah buat masyarakat. Dan isterilah yang memberi sokongan dengan penuh kasih dan cinta, bukan dengan cara mengarah dan meminta-minta. Ramai lelaki yang mampu menjadi wira di luar dan hero di rumah, dengan keinginan diri dan bantuan isteri pastinya. 

Seorang ayah, dia bukan hanya tampak kelihatan semasa 'menghulur wang' sebagai wibawa seorang ayah, namun jua senyuman dan gurauan yang mengikat hati dengan sang permata hati.

Ikatan hati, yang menjadikan doa anak kian tulus buat ibu bapa yang suatu masa nanti akan pergi. Ikatan hati jua yang menggerakkan seorang anak bermunajat memohon agar diampunkan dosa ayah dan ibu yang masih ada.

Namun ya, seorang isteri dan ibu tetaplah seorang isteri dan ibu. Yang tetap ikhlas demi suami dan anak-anak permata hati. Percayalah, seorang isteri tidak pernah mengharapkan bantuan suami yang banyak, Sangat sedikit pun tidak mengapa, hanya sekadar merasa dipeduli dan tidak bersendiri. Kerana kasih dan cinta tidak selayaknya hanya hadir dalam limpahan wang, namun perhatian, cinta dan simpati pada seorang wanita yang dipinjamkan oleh Tuhan sebagai isteri di sisi. 

Namun di sana, seorang isteri juga perlulah lebih arif pada batas kudrat sang suami yang telah berpayah penat di luar sana. Sediakan ruang kerehatan dan ketenangan di dalam rumah buatnya, agar menambah rasa kasih setiap saat yang berlalu. Dan menjadi kekuatan untuk dia terus menumpahkan usaha. Carilah masa yang sesuai dan berhikmahlah. Moga ALLAH menunjuki isteri dan suami yang sedang berusaha mengharmonikan rumahtangga dengan petunjuknya yang benar.

Terima kasih suamiku yang memahami. Moga ALLAH terus memberikan kita sinar iman dan taqwa, mengurnia kesihatan, memberikan kita sekeluarga rezeki yang barakah dan impian kita yang paling tinggi, hadiah syurga dengan kebahagiaan yang tiada noktah. 

Allah...


0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat