Friday, December 18, 2015

LEMBARAN BARU SETIAP HARI

Terasa seperti baru semalam berjuang untuk melahirkannya, alhamdulillah rupa-rupanya si kecil Abdullah 'Ayyash sudah berusia 5 bulan. Syukur pada Allah. Hidup kian cepat mengejar rasanya, sedang diri tercungap-cungap dikejar. Apatah lagi dengan hadirnya si kecil, yang hadirnya beriring cabaran tersendiri.

Bangun pagi, saat menatap wajahnya yang sudah pandai tersenyum, saya pasti tersenyum sama, bahagia melihat dia gembira. Suka diajak bersembang, mengagah dan tergelak kuat sehinggakan adakalanya ‘sukar’ untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah.

Kebelakangan ini, si manja ini tidak mahu diletak, kalau tidur sekalipun ingin dipangku atau berbaring bersama.  Pagi ini, saya terpaksa meninggalkan dia merengek, sementara ingin menyelesaikan tugas memasak di dapur. Sesekali saya menjengah keluar, sambil memujuk. Mulut saya tak berhenti bersuara, agar tangisan si kecil tak semakin kuat.

Agak lama, dia merengek sendiri. Tiba-tiba kedengaran suaranya semakin kuat, tersedu sedan, mulutnya mencebik sedih kerana tidak dilayan. Entah kenapa, hati ini seakan direntap rasa bersalah kerana membiarkannya menangis. Saya segera membasuh tangan, menutup api dapur, berhenti memasak lantas mengangkatnya. Dia segera diam, walaupun ada sisa sedu dan air mata. Saya hanya memeluknya erat, tetapi cukup untuk membuatnya segera lena, memejam rapat mata kecilnya. Walaupun masih belum hilang esak tangis di hujung setiap helaan nafasnya.

" Maafkan mama..." saya merenung si permata hati. Sebak 

Setelah dia lena, saya kembali menyambung menyelesaikan urusan di dapur, sambil minda teringat pakaian yang belum berlipat dan bergosok. Saya cuba sedaya upaya, memastikan semuanya selesai pada waktu pagi sebelum bertolak ke tempat kerja tengahari nanti walaupun semua maklum, kerja rumah memang tidak akan pernah habis. Usai semua kerja rumah yang penting, saya segera mencapai komputer riba, berhasrat ingin menyelesaikan pula tugasan sekolah yang perlu disiapkan sebelum ke sekolah tengahari nanti. Ah, bukan tidak cuba menyiapkan di tempat kerja, namun kekangan masa kerana jadual waktu yang padat menyukarkan. Masa yang ada di sekolah hanya cukup-cukup dimanfaatkan untuk solat zohor atau asar dan mengepam susu untuk bekalan anakanda di rumah pengasuh. Baru beberapa patah menaip, kedengaran rengek si kecil yang sudah puas tidur. Allah...

Saya boleh memilih. Untuk berasa 'tertekan' ataupun untuk senyum bersyukur sambil mencium si kecil yang minta dilayani.

Saya tenangkan hati dan tanpa ragu, memilih pilihan yang kedua.

Saya menekan butang 'shut down' pada komputer riba dan menyahut panggilannya. "Jap ye sayang, mama datang..". Dia tersenyum seperti biasanya, gembira dilayani si ibu.

MENGENAL PRIORITI

Sejak berkahwin, saya memang suka memastikan rumah kemas bersih, semua pakaian terlipat, bergosok dan disangkut kemas. Apatah lagi kerja-kerja rumah yang lain seboleh-bolehnya dipastikan selesai sebelum suami pulang daripada kerja. Setelah bergelar ibu, saya suka memastikan perkara yang sama, NAMUN ternyata saya belajar untuk mengukur baju di badan sendiri. Saya mungkin inginkan sinki kosong dan sentiasa bersih, namun perlu 'berkorban' membiarkan si anak merengek sendiri. Berbaloikah?. Saya mungkin berasa lega apabila lantai bersih dimop setiap pagi, namun tidak sempat berlama-lama menyusukan si kecil yang perlukan perhatian. Berbaloikah?. Saya mungkin ingin menyiapkan lambakan kerja sekolah dengan segera, namun saya akan ‘stress’ dan tidak menghargai kehadiran suami dan anak di sisi. Berbaloikah?. Saya mula belajar mengenal prioriti, memilih apa yang perlu dan apa yang penting terlebih dahulu untuk diselesaikan.

Mengenal prioriti, bukanlah bererti kita membiarkan rumah bersepah tidak terurus hanya kerana konon-kononnya sibuk melayani anak. Rumah yang kemas juga sumber ketenangan, untuk seisi keluarga. Namun, bijaklah meletakkan keutamaan, apa yang perlu dilakukan sekarang, apa yang boleh ditangguh dahulu, dan apa yang tidak perlu sama sekali.

ANAK KECIL ITU, TIADA GALANG GANTI

Anak adalah amanah, yang dititipkan oleh Allah kepada setiap pasangan suami isteri. Anak juga anugerah, yang kelak boleh menjadi pemberat amal kebaikan di sana nanti. Anak juga adalah ujian buat kedua orang tua. Sebagaimana yang dirakamkan dalam al Qur'an 

Sesungguhnya hartamu dan anak-anamu hanyalah cubaan (bagimu) , dan di sisi Allah pahala yang besar.”

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” Al Kahf 46

Ibu bapa, ada peranan yang besar pada sekeping hati anak yang masih suci bersih itu. Dan juga memegang amanah untuk menjaga dirinya daripada menjadi bahan bakar api neraka. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS. At-Tahrim: 6).

Duhai diriku yang bergelar ibu, usah mengalah, usah malas!. Ajarkan anakmu mentauhidkan Allah, ajarkan juga anakmu agar mengenal dan mencintai Rasulullah. Supaya tidak sia-sia setiap penat lelah melahirkan dan membesarkan mereka. Biarlah berbalas sebaik-baik balasan di sana kelak.

TOLERANSI DUA JIWA

Umum mengetahui, sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, kerja-kerja rumah biasanya dilakukan oleh isteri. Walaubagaimanapun, dewasa kini, para suami semakin sedar akan tanggungjawab yang perlu sama-sama dipikul, apatah lagi pada isteri yang bekerja yang bertujuan membantu ekonomi keluarga.

Bagi suami yang sibuk bekerja, mengharapkan pulang ke 'syurga dunia' bernama rumah disambut mesra oleh isteri, anak-anak dan rumah yang teratur. Namun tiada salahnya sesekali, apabila suami pulang ke rumah dan memandang rumah yang sedikit tidak kemas itu sebagai satu kebahagiaan dan kesyukuran. Itu tandanya ada anak kecil yang galak bermain-main di dalam rumah, atau si isteri sedang sibuk menyediakan keperluan lain yang juga tak kurang penting seperti memasak dan sebagainya.

Sebagaimana, apabila suami pulang daripada kerja, isteri sepatutnya memberikannya ruang untuk merehatkan diri, dan bijak pula mencari masa sekiranya memerlukan suami menjaga anak dan mengurus rumahtangga. Begitulah sebaliknya.

Bertoleransilah. Berbincanglah. Suami dan isteri yang saling mengasihi, akan sentiasa saling ihsan dan belas kasihan antara satu sama lain. Apatah lagi di dalam sebuah rumah, syurga dunia kita.

BANTU AKU MENGENAL KEHIDUPAN, YA ALLAH

Saya memandu agak laju pulang ke rumah usai mengambil anak di rumah pengasuh di tingkat 4. Nafas masih tercungap-cungap kelelahan, si kecil pula sudah mula tidak selesa di ‘car seat’ belakang. Hari ini di sekolah pula jadual agak padat. Ditambah dengan kesesakan luar biasa di sepanjang perjalanan. Jam sudah hampir 7.30 malam. Sampai di rumah, terasa seperti ‘bateri’ tubuh sudah 10% berbaki. Namun sebaik sahaja sampai di rumah, entah daripada mana datangnya kekuatan, memandang wajah anakanda yang tergelak diagah ayahnya, sudah cukup menambah 90% lagi ‘bateri’ tubuh.

Maka, nikmat Tuhan manakah yang kamu ingin dustakan?

Bersyukurlah wahai diri, bersyukurlah wahai teman pembaca. Atas setakat mana yang direzekikan oleh Tuhan kepada kita pada lembaran baru setiap hari. Lembaran hari ini telah berlalu, penuh terisi. Hari esok? Belum tentu akan muncul lagi.

” Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” Al Furqan 74





0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat