Friday, December 18, 2015

DI BALIK AWANAN PUTIH


Gumpalan awan yang sungguh putih menarik perhatian saya lewat petang itu. Saya memerhati satu persatu awanan yang tampak tebal dan berat. Daripada satu awan ke awan yang lain, saya ralit memerhati. Ada yang sangat besar, ada yang kecil, kesemuanya seakan terapung di udara. Nampak lembut, seakan gula-gula kapas putih. Subhanallah. Maha suci Allah. Kekaguman saya kian memuncak. Sangat indah, mempesona.

 Awan yang terapung di atmosfera mengandungi wap air dan titisan awan yang tidak dapat jatuh ke permukaan bumi sebagai hujan kerana saiznya yang kecil,tetapi cukup besar untuk membentuk awan yang dapat dilihat oleh manusia. Air di langit akan mengalami proses sejatan dan kondensasi secara berterusan. Kebanyakan daripada air yang terkondensasi di dalam awan tidak akan jatuh ke bumi sebagai titisan air hujan kerana turbulen udara yang mengampaikan awan-awan di atmosfera. Proses hujan hanya dapat berlaku jika titisan air mula mengalami proses kondensasi dan bergabung untuk membentuk titisan-titisan air besar dan menjadi cukup berat untuk membentuk hujan.Pembentukan satu titisan air hujan memerlukan gabungan berjuta-juta titisan awan. Beberapa fakta tentang hujan yang pernah dipelajari di sekolah menengah menerjah ke ruang minda. Saya tersenyum sambil tangan kanan menepuk-nepuk lembut si manja yang lena. Alhamdulillah, dia memang mudah dijaga di dalam kapal terbang, tidak pernah banyak ragam. Suami juga masih lena di kerusi sebelah, melepaskan kepenatan tubuh.

" Perhatian kepada semua penumpang, sila kembali ke tempat duduk, pasangkan tali pinggang keselamatan, kerusi ditegakkan dan meja diletakkan di tempat asal. Oleh kerana kita sedang mengalami cuaca yang kurang memuaskan, pesawat tidak dapat mendarat dan akan berlegar-legar di ruang udara .....' suara pengumuman daripada juruterbang mematikan keasyikan saya menikmati pemandangan luar. Biarpun saban bulan menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung bertemu ayah bonda, namun ini pengalaman pertama saya dengan penangguhan masa untuk mendarat. Tiba-tiba, kapal terbang bergegar agak kuat, tidak seperti gegaran biasa. Saya disapa debar. Suami nampak masih tenang sambil membantu mengulit si kecil yang terjaga kerana gegaran kuat. Saya mengalihkan pandangan ke luar tingkap sekali lagi, melihat suasana yang tidak lagi seputih tadi, tetapi agak gelap.

Entah kenapa cepat sungguh fikiran saya dibayangi peristiwa MH370 dan MH17. Saya berzikir, melepaskan kerisauan yang tidak semena-mena. Bagaimana agaknya perasaan perasaan para penumpang nahas kapal terbang? Sesungguhnya di atas ruang udara ini, tiada tanah untuk dijejak, tiada kawasan untuk berlari padanya, tiada tali untuk berpaut, yang ada awanan yang cantik namun tiada daya membantu menyelamatkan.

Hakikat sebenarnya ada satu pelindung yang sentiasa mampu melindungi walau di manapun kita berada. Di langit, atau di bumi. Dan itulah hanya satu-satunya. ALLAH.

Barangkali kerana itulah bibir saya cepat-cepat melafaz zikir, hati saya pantas kembali berdoa memohon padaNya dan kebergantungan saya ketika itu hanya pada Dia dengan harapan agar Dia mengurniakan keselamatan kepada kami yang ada di dalam kapal terbang itu.

Begitulah seorang manusia, seringkali hanya kembali pada Tuhan ketika saat sukar dan payah. Juga ketika waktu buntu dan tidak tahu. Alangkah ruginya!

INGATLAH ALLAH HATI AKAN TENANG

Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah (mengingati Allah), ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenang.” (Al-Ra’d :28)

Tiada jaminan yang pasti untuk memperoleh ketenangan dengan apa jua kesenangan yang wujud di dalam dunia ini. Meskipun ia berupa harta nan melimpah, anak-anak yang ramai, kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan sebagainya. Tetapi Allah menjamin ketenangan pada sebuah amal yang nampak ringkas pelaksanaannya, namun  tidak semudah itu untuk sentiasa melaksanakannya.

“Iaitu orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata : “Wahai tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” (Al-Imran:191)

 “kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.(al-Jumaah:10)

Buat muhasabah diri sendiri, saya menyedari bahawa sudah menjadi lumrah seorang manusia akan lebih banyak mengingati Allah ketika berada dalam keadaan lemah dan memerlukan. Kadang-kadang kita acuh tidak acuh semasa menadah tangan untuk memohon diampunkan dosa, namun bersungguh-sungguh pula ketika meminta agar diberi kemudahan menjawab soalan peperiksaan. Maha Suci Allah kerana cintaNya bukan sahaja istimewa tetapi adalah yang teristimewa. Biarpun kita seringkali melakukan kesilapan dan berulang kali juga memohon taubat, sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf. Yang akan memberi keampunan akan dosa-dosa manusia biarpun sebanyak buih-buih di lautan. Sungguh berbeza dengan cinta manusia, setelah sampai suatu masa pasti hati akan kebosanan disua maaf yang berulang kali.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar orang-orang yang melakukan dosa pada siang hari bertaubat, Dia membentangkan tanganNya di siang hari agar orang-orang yang melakukan kesalahan pada malam hari bertaubat hingga nanti matahari terbit di sebelah barat “
Masha Allah, indahnya bernafas dalam jiwa seorang hamba!
Saat hati dirundung tidak tenang kerana bencana atau kesukaran, ingatlah Allah dan berzikirlah sebanyak-banyaknya. Pertolongan Allah akan datang pada waktunya yang tepat dan memberi pimpinan pada setiap keputusan yang diambil sebagaimana firman Allah di dalam al Qur’an ;
Dan sesiapa yang beriman(sentiasa mengingati) kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (Memberi hidayah); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui. (At-Taghaabun:11)

Namun alangkah moleknya jika ketika bahagia dan senang, syukurilah jua nikmat Allah sebanyak-banyaknya, agar akan bertambah segala nikmat dan kurniaanNya di dunia dan di akhirat sana. Tanamkanlah perasaan ‘malu’ kepada Allah kerana sombong denganNya di waktu senang.

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni’mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”(QS. 14:7)

Sesungguhnya tiada manusia yang benar-benar sempurna kecuali dia akan ‘sempurna’ pada hatinya selagi mana dia mengingati Allah dengan sebenar-benarnya. Sempurna pada kekayaan jiwa yang merasa cukup akan anugerah dan ujian Tuhan yang bertandang.
Ya Allah…bantulah kami, manusia dengan jiwa yang lemah.

TERIMA KASIH TUHAN
“ Kita akan mendarat sebentar lagi…….” Suara pengumuman daripada krew kabin membawa pergi segala kerisauan yang bertandang.  Lafaz tahmid diratib perlahan. Saya kembali mengambil peluang merenung awanan putih yang menenangkan, sementara pesawat sudah semakin terbang rendah kerana ingin mendarat. Awanan putih yang cantik, di baliknya menampung air yang bakal tumpah membasahi bumi.  “ Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Syukurlah pada ALLAH anakku sayang kerana masih ada izin Allah untuk kita menumpang hidup di muka bumi Dia, agar ada peluang untuk kita memohon keampunan atas dosa yang lalu dan menanam benih pahala untuk ‘simpanan’ akan datang…..” saya berbisik kepada si kecil yang sudah terjaga. Tersengih dia menampakkan tiga batang giginya, seakan memahami.
Tuhanku,
Aku hamba lemah nan berdosa
Khilaf dan berbuat salah sentiasa
Namun keampunanmu buatku merasa

Diulit bahagia dan tidak terseksa!

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat