Friday, March 28, 2014

Ada kamu :)



Dalam hari-hariku ku kini ada kamu,
Datang dekatku dan sudi melindungi.

Dalam hatiku ku ada kasihmu,
Insan terdekat teman yang akrab.

Dalam semangatku yang tak menentu,
Mujur ada kamu menjadi obor.

Dalam doaku terukir namamu, 
Sungguh aku tenang menjadi penemanmu.


aisyahumaira 280314

Wednesday, March 26, 2014

Ketika memilih kebaikan :)

Ketika memilih untuk membuat kebaikan,
Bertahanlah....kerana ujian akan hadir merintangi,
Sebagai cubaan buat sekeping hati yang teruji,
Bukankah di balik hujan itu adanya pelangi nan berseri?

Ketika memilih untuk membuat kebaikan,
Bersabarlah...kerana dugaan emosi takkan terhenti,
Hingga mungkin air mata tak mampu dihapus pergi,
Membuat diri tewas tak ingin melangkah lagi.


Ketika memilih untuk membuat kebaikan,
Beringatlah...bimbang diri terasa lebih tak ada kurangnya,
Terasa diri hebat lantas merosakkan iman di sanubari,
Sehingga kebaikan orang lain dipandang sepi tak bererti.

Ketika memilih untuk membuat kebaikan,
Berjuanglah...kerana keringat kepayahan akan melelahkan rasa,
Mengisi titian hari-hari sendiri tanpa dipeduli,
Sehingga bimbang ingin berhenti tak ingin meneruskan lagi.

Ketika memilih untuk membuat kebaikan,
Bersederhanalah, kerana diri punyai limitasi tersendiri,
Sedangkan Robbi berjanji pasti akan melindungi,
Takkan insan ditimpa cabaran di luar upaya diri.

Temanku sayang,
Kebaikan itu jua adalah suatu ujian,
Adakah ia mampu membawa dekat dengan Tuhan,
Ataupun membawa hati jauh ke istana yang megah,
Kerana,
Hitam atau putih itu, pilihan diri sendiri!


[aisyahumaira 260314 @ cheras]

Thursday, March 20, 2014

Hanya untuk Dia...


“ Sejuknya..” dia bersuara perlahan. Nafasnya ditarik panjang. Dalam. Akhirnya dilepaskan beserta keluhan kecil. Saya diam, membiarkan dia mencari ketenangan sendiri. Kami berjalan menyelusuri pantai dengan kedinginan senja. Usai berprogram, dia meminta agar saya menemaninya berjalan-jalan di sekitar pantai.

“ Kenapa pantai ini begitu baik? Membiarkan sahaja ombak terus menerus menghempaskan kemarahannya. Aneh!” dia terus bermonolog. Saya tahu, ada sesuatu yang ingin diluahkan. Namun, saya memilih untuk membiarkan dia sendiri yang merasa selesa untuk bercerita. “Awak tahu kenapa?” dia memalingkan wajah. Bertanya.

“ Saya pun tidak pasti. Cuma, boleh jadi awak melihatnya sebagai kemarahan. Tetapi pantai ini merasainya sebagai satu kepuasan?” saya berbicara.

“ Puas? Puas dipergunakan?” nada suaranya memprotes.

“ Puas apabila merasa tidak keseorangan. Puas apabila merasakan ombak itu masih sangat memerlukannya.” Saya cuba merenungi hikmahnya. Dia terdiam. Ada air mata yang bergenang di kolam mata.

“ Cara kita melihat sesuatu membezakan cara kita mengendalikannya…kerana itulah setiap orang diberikan ujian yang berbeza, dan hanya insan yang diuji tahu cara terbaik menanggapinya” saya masih berbicara perlahan. Antara dengar atau tidak setelah suara dibawa pergi oleh bunyi ombak. Dia berhenti berjalan. Badan kami kini menghadap lautan yang dalam. Kedinginan senja menambahkan lagi rasa tenang yang menjalar ke segenap ruang tubuh.

“ Saya sudah penat berbuat baik. Tapi saya tak pernah rasa kebaikan saya dihargai. Saya penat bertahan. Saya penat menangis. Saya ingin pergi. Pergi jauh daripada kehidupan ini..Untuk apa saya berbuat baik sedangkan mereka semakin menekan dan memaksa saya ” dia semakin beremosi. Tangannya menahan tudung yang disapa angin petang. Saya faham kini, masalah yang pernah diceritakan olehnya mengenai keluarga angkatnya yang melayani dia dengan teruk masih belum selesai. Namun, dia masih bertahan kerana ibu angkatnya yang sedang sakit perlu dijaga.

“ Awak nampak pokok kelapa itu?” saya menudingkan jari ke arah sebatang pokok kelapa yang bergoyang ditiup angin yang kuat.

“ Dia mungkin sakit, ditiup kuat oleh angin. Malah mungkin ‘penat’ bergoyang tanpa henti. Tapi pokok itu tetap setia. Tidak tumbang. Kita mungkin tak pernah peduli tentang ‘kesakitannya” tetapi kerana pengorbanannya, kita dapat melihatnya malah menikmati pemandangan itu sebagai salah satu simbol keindahan yang ada di sekitar pantai ini. “

“Seringkali pengorbanan yang kita lakukan tak akan dipeduli, ataupun jika dipeduli sekalipun, tampak remeh dan mudah, namun kita sebenarnya bahagia apabila pengorbanan kita dirasai oleh mereka,kan?” saya menarik tangannya lalu menggenggamnya. Erat. Ada rasa yang sukar dimengerti melihat gadis tabah ini.

“ Kerana itu, dalam setiap kebaikan, niat dalam hati perlu diperhalusi. Setelah beribu kilometer perjalanan kebaikan, pasti telah berjuta pahala dikurniakan oleh Tuhan. Namun, jika niat tidak disandarkan hanya kepada Dia, alangkah ruginya!. Ada hadis Rasulullah yang masyhur telah memperkatakan tentang niat. Maksudnya, sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan atau disertai dengan niat dan sesungguhnya keatas setiap seseorang itu dibalas berdasarkan niat mereka ” saya menyelitkan sebuah hadith baginda SAW di dalam perbualan kami.
“ Kita boleh buat kebaikan untuk dipandang manusia, namun malangnya kita akan putus asa setelah manusia tidak mengendahkan. Kita juga boleh buat kebaikan untuk dipuji manusia, namun kita akan terhenti setelah manusia mengeji. Kita juga boleh buat kebaikan untuk diganjari manusia, namun sayangnya jika tidak ada ganjaran kita akan kecewa. Lalu jatuh dan sukar untuk bangkit semula…” saya memandang wajahnya yang mendengar dengan penuh perhatian.

“ Hm, hanya kerana Allah? Bagaimana?” Gadis ini bertanya jujur.

“ Hanya kerana Allah, apabila kejian dan cacian manusia tak akan menghentikan kita daripada terus berbuat baik. Malah, menjadi satu lonjakan untuk kita semakin banyak memberi kebaikan. Pujian manusia pula bukan asbab utama untuk kita terus membuat kebaikan. Puji atau keji, semuanya tak berbekas untuk diri.” Saya mengolah maksud ayat yang lebih kurang sama yang pernah ditulis oleh suami di laman facebook.

“ Tapi kita semua manusia biasa, yang penuh dengan khilaf dan silap. jika ada harapan yang tersisa untuk dipandang manusia, betulkan kembali, mujahadahlah. Pasti akan ada pertolongan dan kekuatan yang datang daripada Dia. Tidak ada manusia yang sempurna…” saya kembali menyingkap realiti, sebagai seorang manusia.

" Kita mencari-cari di mana kekuatan untuk mendepani semua cabaran. Sedangkan hakikatnya, keyakinan dan kebergantungan kita kepada Allah itulah kekuatan yang sebenar. Daripada situ, kita belajar mencari jalan keluar dan bersangka baik dengan aturan Dia.." saya menyambung bicara,  mengingatkan diri sendiri sebenarnya.

“ Terima kasih awak. Benar, ada ketikanya saya rasa cukup kuat berjalan mendepani realiti kehidupan saya. namun ada kalanya, saya rasa seperti lemah dan tewas. Ketika ini, bisikan-bisikan syaitan seolah mengambil posisi. Saya jadi ingin berputus asa. Kerana itu,saya senang untuk berbicara, meluahkan yang terpendam dan mendapatkan nasihat. Walaupun mungkin nasihat yang sama terpaksa awak ulangi..” dia kelihatan semakin stabil. Sungguh, saya kagum dengan kebolehannya mengendalikan emosi di usia yang masih muda namun dengan cabaran hidup yang bukan sedikit.

“ Kerana kita wanita, emosi sentiasa menjadi teman baik kita. Ada suatu masa nanti, mungkin saya pula yang mencari awak untuk meluahkan masalah. Itulah antara sebab kenapa Islam mengutamakan persaudaraan, kan?” saya memandang wajahnya. Dia mengangguk mengiyakan.

Akhirnya kami sama-sama diam. Sambil terus berjalan di atas pepasir pantai. Sesekali pandangan dialihkan ke arah pulau yang kelihatan jauh.

“ Saya tidak pernah mempunyai sahabat sejati..tempat meluah dan menyandarkan harapan. Selain awak..” dia bersuara memecah keheningan.

“ Ada…suami awak suatu hari nanti. Dia akan jadi teman sejati. Jauh lebih dekat dan akrab berbanding saya tau!” saya cuba mengubah suasana.

“ Eh, itu lambat lagi la” Dia terkejut. Akhirnya kami tertawa kecil. Saya merenung wajahnya yang mula tersenyum. Benarlah, seringkali kita melihat seseorang yang serba sempurna di mata kita, namun di sebalik kisah hidupnya, ada sejuta garisan yang merintangi. Saya memuhasabah diri. Ujian setiap orang pasti berbeza. Dan cukuplah hanya Allah menjadi tempat bergantung. Akhirnya, saya menulis sebuah nukilan untuk diberikan kepadanya.

SETIAP MATA YANG MEMANDANG ITU BERBEZA

Ada yang melihat tabir senja petang itu mendamaikan,
Berdiam menghayatinya suatu kebahagiaan,

Ada yang melihat deru ombak itu meralitkan,
Menghela nafas di tepiannya suatu kebahagiaan,

Ada yang melihat pelangi itu menyenangkan,
Menantinya setelah pergi titis hujan suatu kebahagiaan.

Kerana,
Pandangan itu milik setiap insan,
Melihat dunia daripada mata hatinya,
Tidak hairanlah jika ada dua jiwa ditimpa ujian sama,
Namun, menanggapinya dengan cara berbeza.

Taqdir Ilahi akan terus berjalan,
Melewati hari menemani sisa nafas,
Sedangkan insan terus diberi pilihan,
Ingin mengeluh atau menyukuri.

Duhai jiwa,
Biar terus segar mengharap cintaNya,
Tunduk bersujud di bawah langitNya,
Bertasbih memohon keampunanNya,
Dalam hempas luka dan dosa kepadaNya.


Duhai jiwa,
Cintailah dunia dan isinya seadanya,
Kerana ia tidak lama,
Rinduilah pertemuan dengan cinta abadi,
Di sana nanti dengan haruman syurgawi.



aisyahumaira 200314 

Wednesday, March 19, 2014

Bicara hati


Temanku,
Aku tahu tidaklah mudah,
Untuk sempurna seperti madah,
Kerana jiwa ini bukan tulisan,
Yang boleh dilakar serba indah.

Temanku,
Aku tahu memang sukar,
Untuk tetap dalam mujahadah,
Kalau terlebih akan dipandang salah,
Kalau terkurang nanti dikata tak endah.

Temanku,
Aku tahu dunia memang menguji,
Pada niat dan hasrat yang suci,
Adakala diri tak mampu lagi berlari,
Kerana lemah dengan dosa sendiri.

Namun....
Aku juga tahu kita ada Robbi,
Yang sentiasa tak henti memerhati,
Meskipun kita pernah tak peduli,
Kerana lemas dalam puja dan puji.

Temanku,
Aku juga tahu adanya anugerah pahala,
Untuk setiap keperitan menahan kesakitan,
Kerana ujian bertamu takkan terhenti
Namun relakanlah untuk hidup yang abadi.

Temanku,
Aku juga tahu kita dijanjikan syurga,
Yang melambai memberi motivasi,
Dengan kenikmatannya di luar imaginasi,
Dan senyuman indah para bidadari.

Temanku,
Janganlah pula dilupa banyaknya kurnia,
Yang kita nikmati detik demi detik,
Sehingga bahagia mengisi hari-hari,
Tampak di wajah terpancar seri.

Temanku sayang,
Kanvas kehidupan ini takkan selamanya,
Lakarannya cuma sekejap tidaklah lama,
Sebelum akhirnya pulang kembali kepadaNya,
Moga husnul khatimah akhir nafas dihela.

Temanku,
Luahan bicara ini daripada hati,
Ku doa ia sampai jua ke hati,
Kerana aku sungguh menyayangi,
Dan berimpian untuk berbakti.

aisyahumaira @ cheras

Tuesday, March 18, 2014

Terima kasih, murabbi



Saya merenung anak-anak murid yang sedang membuat latihan pada lembaran kerja yang disediakan. Wajah-wajah suci yang baru berkenalan dengan dunia huruf dan nombor. Sedang berjuang menelaah perkara-perkara baru dalam kehidupan. Ketika awal-awal dahulu, saya akui ada tekanan yang dirasai untuk mengajar murid-murid tahun 1 memandangkan guru yang perlu bersungguh-sungguh memastikan mereka dapat menguasai pembelajaran kerana mereka sendiri biasanya masih belum menyedari peri pentingnya ilmu di seawal usia 7 tahun. Saya teringat ketika ingin mengajar bab wudhuk tempoh hari.

“Hari ni kita akan belajar sunat dalam berwudhuk ye. Ok, semua dah tahu maksud sunat?” saya bertanya.

“Tahu, ustazah…” mereka menjawab beramai-ramai.

“Alhamdulillah. Baiklah, apa maksudnya?

“Sunat khas untuk budak lelaki je. Bukan perempuan tak payah..” seorang murid lelaki menjawab sambil tersipu-sipu menahan malu. Yang lain mengangguk-angguk.

“Alamak!” saya tersenyum sendiri. Nampaknya ada tugasan untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang definisi sunat terlebih dahulu. Dan hakikatnya, bukanlah mudah untuk memberikan mereka kefahaman yang benar tentang sesuatu yang baru mereka terokai.

Mendidiklah daripada hati

Saya tahu tugas seorang guru tidak kelihatan mencabar seperti bidang professional yang lain. Namun, setelah berkecimpung di dalam bidang ini, cukuplah hanya Allah yang menjadi saksi bahawa tugas mendidik insan adalah satu tugas besar yang tak pernah berpenghujung. Ada hasrat yang mendorong diri untuk tak pernah lelah di dalam bilik petak yang mungkin dipenuhi dengan 45 orang kanak-kanak itu. Hasrat yang lahir daripada kasih sayang anugerah Tuhan. Hasrat untuk melihat wajah-wajah suci itu tumbuh membesar dengan iman dan keyakinan kepada Allah. Lantas, setiap huruf diajar dan setiap kalimah diulang-ulang, supaya mereka mendapat sentuhan yang terbaik. Apatah lagi, amanah besar ini adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan di sana kelak.

Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama.”
(Hadits riwayat Ath-Thabarani)

Maha suci Allah kerana telah meninggikan darjat manusia yang berilmu. Ilmu telah memuliakan manusia di sisi Allah, dan juga disenangi di sisi manusia yang beriman. Banyak atau sedikit ilmu bukanlah halangan, tetapi kesungguhan untuk menyebarkan ilmu Allah kepada manusia lain dengan jalan yang betul merupakan satu kebaikan yang dijanjikan ganjaran pahala. Malah, seluruh makhluk di bumi turut mendoakan kebaikan buatnya sebagaimana yang digambarkan dalam hadith ;

Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadah adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian baginda bersabda lagi : Sesungguhnya para malaikat, dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya beserta ikan berdoa untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia ( Hadith riwayat At Tirmidzi).

Subhanallah berbahagialah wahai jiwa-jiwa yang mendidik dan mengajarkan kebaikan. Kerana seluruh makhluk sedang mendoakan kebaikan buatmu! Justeru, jangan rebah dengan keringat, jangan tewas dengan amarah, bangkitlah dan suburkan kembali motivasi untuk terus memberi.

Terima kasih murabbiku                    

Ya Allah, sungguh besar jasa mereka yang telah mendidikku. Meskipun ku tahu diri ini tidak mampu membalas setiap jasa mereka, namun kuyakini rahmat dan kasih sayangMu pasti sentiasa subur buat mereka.

Di akhir coretan ini, ingin ku kalungkan sejuta penghargaan dan rasa kasih buat semua guru yang pernah mengajarkan diri ini bermula daripada tulis baca. Walau di manapun kalian berada, sesungguhnya jasa dan pengorbanan itu sentiasa tersemat di dalam hati. Satu huruf yang diajar, menjadi asbab untukku mampu melakar tinta ini. Terima kasih cikgu. Doaku, semoga Allah mengganjari setiap usaha dengan pahala berganda. 


aisyahumaira 180314 @ cheras

Saturday, March 15, 2014

Mendengar untuk memahami...


اَلَّذِيْ اَحْسَنَ كُلَّ شَيْئٍ خَلَقهُ وَبَدَأَ خَلْقَ اْلاسنِ مِنْ طِيْنٍ . ثُمَّ جَعَلَ  نَسْلَهُ مِنْ سَللةٍ
مِنْ مآءٍ مَهِيْنٍ  . ثُمَّ سَوّاَهُ وَنَفَخَ فِيْهِ  مِنْ رُوْحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ الّسَمْعَ وَاْلاَبْصرَ وَاْلاَفْئِدَةَ
قَلِيْلاً ماَ تَشْكُرُوْنَ       
 السجدة 7-9
(Dialah Allah) yang menjadikan segala ciptaan-Nya indah, dan Dia memulai penciptaan manusia dari tanah, kemudian menjadikan keturunannya dari air yang hina (air mani), kemudian Dia sempurnakan kejadian (fizikalnya) dan Dia  tiupkan roh-Nya, dan Dia jadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati (akal fikiran ), namun sedikit sekali kamu yang bersyukur. (QS. 32 (Al-Sajadah): 7-9).
__________________________________


“ Saya rasa bagus juga kalau layout ni warna hijau”
“ Eh tak cantiklah. Terang sangat!”

“ Rasanya hujung minggu ni elok juga kita menziarahi sahabat kita”
“ Ish menganggu je masa hujung minggu orang lain”

“ Jom makan”
“ Tak naklah. Ada kerja.”

Itulah beberapa contoh perbualan yang kurang sihat dalam kalangan kita. Apabila kita berkomunikasi, jadilah pendengar terlebih dahulu. Raikan dan hargailah pendapat penjelasan mereka. 

Jangan terus menolak, membantah atau menggeleng. Walaupun mungkin ketika kali pertama mendengarnya sudahpun tidak dipersetujui oleh minda dan akal. Berikanlah ruang untuk mereka dan jika perlu, nyatakanlah bantahan dengan hikmah menggunakan cara dan ayat yang terbaik.

“ Saya rasa bagus juga kalau layout ni warna hijau”
“ Haah, nampak cantik juga. Cuma kalau warna putih nampak lebih kemas”

“ Rasanya hujung minggu ni elok juga kita menziarahi sahabat kita”
“ Idea yang bijak. Tapi kan, agak-agak mereka sibuk tak di hujung minggu?”

“ Jom makan”
“ Kebetulan ada kerja pula sekarang. Awak makan dulu ye, nanti saya menyusul”

Bukanlah lebih menyejukkan hati yang mendengar dan melapangkan hati yang menuturkan?Jom kita belajar untuk saling menyantuni satu sama lain kerana tidak ada manusia yang sempurna. Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud RA pernah berkata; 

إِنَّ النَّاسَ قَدْ أَحْسَنُوا الْقَوْلَ كُلُّهُمْ ، فَمَنْ وَافَقَ قَوْلُهُ فِعْلَهُ فَذَاكَ الَّذِي أَصَابَ حَظَّهُ ، وَمَنْ خَالَفَهُ فَإِنَّمَا يُؤَبِّخُ نَفْسَهُ

‘Sesungguhnya manusia telah memperindahkan ucapannya, maka barangsiapa yang ucapannya sesuai dengan perbuatannya, maka itulah orang yang akan mendapatkan bahagian keuntungan. Namun barangsiapa yang ucapannya tidak sesuai dengan perbuatannya maka itulah orang yang mencela dirinya sendiri.’ (Sifatus Sofwah, Ibn Jauzi)

Dengarlah, daripadanya kita belajar.

Ada dua sebab mengapa kita perlu sabar menjadi pendengar. Pertama, kerana setelah mendengar, kita akan mempelajari banyak perkara baru. Dan kedua, kerana setelah mendengar, kita akan disenangi oleh orang lain.

Begitu banyak perkara dan pengalaman baru daripada orang lain yang terhalang kerana kita tidak sudi mendengar, ataupun awal-awal lagi sudah menolak dengan memberikan riak tidak berminat untuk mendengar. Mereka tidak berasa senang dengan respon yang ditunjukkan dan akhirnya memilih untuk tidak berkongsi.

Mendengar untuk memahami

Sudah menjadi lumrah insani, bercerita masalah dan perkara penting dalam kehidupan merupakan salah satu faktor yang memberi ketenangan. Apatah lagi jika diceritakan kepada insan-insan yang dikasihi. Sebenarnya ramai yang gembira jika setiap patah kata dimengerti oleh pendengar ketika bercerita, tidak semestinya memerlukan jawapan yang pasti. Saya teringat satu kata-kata daripada barat “ Most people do not listen with the intent to understand, they listen with the intent to reply”.

Itulah faktor mengapa pendengar kurang menunjukkan simpati, tidak minat lagi mendengar setelah menemui solusi, malah ingin cepat-cepat menamatkan cerita yang didengari. Ini boleh mengundang kesedihan di pihak yang berkongsi masalah mereka. Mereka sebenarnya mengharapkan bahu sebagai tempat bersandar dan jemari untuk mengelap air mata yang tumpah. Bukan hanya idea penyelesaian yang terus dilontarkan bertubi-tubi. Meskipun saya tidak menafikan sebahagian masalah memerlukan penyelesaian yang segera. 


Mendengar untuk memahami, bukan mendengar untuk menyakiti. Justeru, apabila mendengar, kita sebenarnya telah bersedia untuk menerima kelebihan dan kekurangan yang ada. Bukan sengaja mencari ruang untuk membalas dengan niat menyakiti untuk kepuasan hati sendiri. Lunakkan bicara dengan bahasa yang menenangkan. Insya Allah, putaran kehidupan ini ibarat roda, ada masa kita yang mendengar masalah dan ada masanya nanti kita pula yang ditimpa masalah. Di sinilah kita menyatukan titik kesefahaman dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Berikan perhatian, respon dan-eye contact

Tidak sukar menjadi pendengar yang baik. Belajar bersabar dan pinjamkan ruang masa kita untuk mendengar dengan ikhlas. Niatkan bahawa setiap kebaikan yang dilakukan walaupun kecil pasti akan ada ganjaran di sisiNya kelak. Sebagaimana firman Allah SWT :

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” ( Surah Az-Zalzalah ayat 7-8 )

Anggukkan kepala apabila perlu dan duduk dengan postur badan yang betul. Sesuaikan mimik muka sesuai dengan cerita seperti riak terkejut ketika mendengar berita yang mengejutkan dan sebagainya. Ikuti perbualannya dengan beberapa perkataan yang menunjukkan kita faham seperti ‘ ya,ya, betul tu’. Sesekali tanyalah beberapa soalan ringkas sebagai tanda bahawa kita sedang cuba untuk memahami cerita yang sedang dikongsi. Jangan menyampuk dan memprovokasi ketika mereka sedang khusyuk bercerita kerana ini boleh menganggu perasaan mereka. Selain itu, jika cerita yang dikongsikan merupakan suatu yang besar, jangan kita membuat kerja lain pada masa yang sama kerana tumpuan sukar diberikan secara maksima. Contohnya, jangan menggunakan telefon semasa mendengar.

Di akhirnya, setelah beberapa tips ringkas yang dikongsikan, pokok pangkalnya adalah niat. Kerana daripada niat yang baik akan terpancarlah kebaikan di wajah yang sedang berempati. Lantas, mengalirkan aura rasa senang pada si dia yang sedang berkongsi. Berlumba-lumbalah melakukan kebaikan, padanya adalah jalan menuju Tuhan. Renungilah firman Allah Taala.

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ أَيْنَ مَا تَكُونُواْ يَأْتِ بِكُمُ اللّهُ جَمِيعًا إِنَّ اللّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu." 
( Surah Al Baqarah ayat 148 )

Teman, pinjamkanlah pendengaranmu, kerana suatu saat nanti di akhir nyawa, kita juga akan meminjam dan mendengar kalimah suci daripada insan lain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

لَقِّنُواْ مَوْتىكُمْ بِقَوْلِ ” لآَِالهَ اِلاَّ  اللهُ
Tuntunlah oleh kamu orang yang hampir mati itu dengan bacaan “Laa ilaaha Illallaah” (tiada Tuhan selain Allah)

[aisyahumaira 150314]





Kerana dia, ada kamu.


" 9 bulan ibu kamu tak dapat tidur lena. Mengiring ke kanan tak selesa, kiri pun tak selesa. Makan pula tak berselera. Bayangkan, berat tau bawa kamu dalam perut lama-lama. Bila bersalin pula, sakitnya ditanggung demi untuk melahirkan kamu. Sebab tu kamu semua kena jadi anak yang baik" itulah antara kata-kata saya sebagai muqaddimah sesi pengajaran pada kali ini. Saya memandang mereka seorang demi seorang yang sedang duduk dalam separa bulatan mengelilingi saya di hadapan kelas. Kebetulan, tajuk yang perlu diajar kepada kelas tahun 1 ini adalah mengenai adab kepada ibu bapa.

“Ustazah, saya rasa sedih..." seorang murid mencelah. Air matanya bergenang.

" Kenapa?"

" Sebab saya selalu buat dosa kat ibu saya" dia menyambung. Suaranya lirih.

Subhanallah, insan kecil berusia 7 tahun ini memang tulus hatinya. Cepat tersentuh dan terkesan dengan cerita yang didengari seperti dosa dan pahala. Kerana itulah, kasih sayang ibu juga sangat kuat dirasai oleh anak-anak kerana kasih sayang itu telah ditunjukkan kepada mereka sejak kecil lagi.

CINTA TANPA SYARAT
Seorang ibu, cintanya tak pernah terbatas. Sekalipun jika ada banyak kekurangan seorang insan bergelar ibu, tetap tak mampu mengatasi senarai panjang jasa dan pengorbanan yang dilakukannya. Kerana itu, jasa seorang ibu sentiasa dijulang di hamparan wahyu sebagaimana firmanNya di dalam surah al Isra’ ayat 23 Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya 


Kesusahan dan kepayahan yang dialami tanpa kompromi sepanjang tempoh kehamilan sahaja sudah menjadi jasa yang tak mampu dibalas. Setiap keletihan dan kesakitan menjadi saksi kasih dan cinta buat sang anak permata hati. Tiada keluhan berat dilepaskan, tiada kata cacian dilemparkan, hanya titipan doa buat Ilahi agar setiap kepayahan yang dilalui diganti dengan ganjaran pahala daripadaNya. 

Semasa proses kelahiran, dengan kudrat lemah seorang wanita, si ibu berjuang sehabis daya supaya anak selamat dilahirkan. Dan segala kesakitan dihapus pergi dengan tangisan anak kecil yang menjengah pendengaran. Air mata ibu akhirnya menitis lagi buat kesekian kalinya. Setiap yang dialami oleh ibu pasti ada keistimewaan di sisNya sebagaimana yang terangkum di dalam firmanNya yang mulia.

وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
Ertinya: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu”. (Luqman: 14)

Bermulalah kehidupan seorang ibu untuk meneladani keperluan anak yang dicintai. Sakit demam diambil peduli. Rajuk dan tangis dipujuk berkali-kali. Hanya untuk memastikan permata hati membesar dengan sebaiknya. Biarpun sesekali diuji amarah dan emosi, si ibu tetap unggul menjadi pelindung dan pendidik sejati. Kerana emosi seorang ibu adalah kekuatan untuknya terus berbakti. Tidak dapat dinafikan, keutamaan seorang ibu adalah melebihi seorang bapa dalam beberapa aspek terutama ketaatan anak-anak.

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w lantas bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku berbuat baik dan mendampinginya. Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Bapa kamu. (Hadith Muttafaq ‘alaih)

KERANANYA, ADA KAMU.
Dengan izin Allah, di rahimnya kamu menumpang. Dengan rahmat Allah, di pangkuanmu kamu dilindungi. Dengan kasih sayang Allah, di atas usaha dan pengorbanannya kamu membesar. Justeru, dalam nafas yang masih bersisa, lepaskan keegoan yang membelenggu dan tariklah dia ke dalam pelukanmu. Ucapkanlah bicara sayang yang melunakkan hatinya, agar tiada penyesalan jika suatu masa nanti wajahnya kaku tak mampu lagi menunjukkan reaksi. Genggamlah jemarinya agar tiada penyesalan mengiringi ketika genggamanmu tidak lagi disambut olehnya. Berdoalah teman, buatnya yang sungguh menyayangimu. Sebagaimana yang diajari di dalam tuntunan wahyu.

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil" (Al-Isra’: 24).

Mencintai dan berbakti buat ibu adalah satu kebaikan yang sangat besar buat semua insan. Daripada Abi Abd al-Rahman Abd Allah bin Mas’ud r.a. telah berkata: Seorang lelaki telah bertanya baginda Nabi s.a.w apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah s.w.t? Baginda bersabda: “Solat apabila tiba waktunya (di awal waktu)”. Kataku: Kemudian apa lagi? Sabda baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Kataku: Kemudian apa lagi? Sabda baginda: “Berjihad di jalan Allah”. (Hadith Muttafaq ‘alaih)

BUATMU BONDAKU
Setelah melewati hari-hari setelah bergelar isteri, saya titipkan nukilan hati buat bonda sebelum bonda pulang ke kampung setelah beberapa hari sudi menziarahi anaknya ini.

Bonda,
Izinkanku menyulam kata,
Dengan diulit kasih tak sudah,
Izinkanku merayu madah,
Dengan rindu merimbun di jiwa.

Bonda,
Masih segar bertamu di ingatan,
Sabarnya bonda waktu kecilku,
Tangis dan tawa bersilih ganti,
Rajuk dan senyum mengisi hari.

Bonda,
Mana mungkin untukku lupa,
Pada senyuman indah dibibirmu bonda,
Mendamaikanku yang sedia mencuka,
Bila keinginanku tak terpenuhi olehmu.

Bonda,
Takkan mampu kubiarkan pergi,
Nasihatmu berhikmah penuh kasih,
Yang sentiasa kau tutur tanpa jemu,
Setiap kali diriku mengadu itu dan ini.

Bonda,
Tiada yang lebih istimewa,
Hidangan seharian santapan keluarga,
Yang tidak lengah walau sekali,
Percayalah cintaku,
Air tanganmu tiada tandingannya.

Bonda,
Sungguh dirimu amat istimewa,
Sentiasa mengurusi keperluan kami,
Dengan penuh jiwa keibuan,
Membantu ayahanda membesarkan kami.

Kami tahu bonda,
Bukan tidak pernah hatimu terusik,
Kami akur bonda,
Bukan tidak pernah air matamu menitis.

Kerana itu...
Terimalah bonda,
Jambangan mawar cinta kuhulurkan,
Bersama makna sejuta maaf kau sudikan,
Buatku yang sentiasa khilaf dan salah,
Padamu bondaku yang sangat berjasa.

Bonda,
Kini taqdir membawaku ke dunia baru,
Yang sangat asing lagi misteri buatku,
Terima kasih kunci syurgaku,
Atas redha jua restumu.

Ku pohon doa tulusmu bonda,
Moga jalan yang ku lalui ini,
Menatijahkan syurga di dunia,
Lebih-lebih lagi syurga di sana nanti.

Dan tika ini,
Hanya mampuku doakan,
"Ya Allah, kurniakanlah bondaku syurga,
Atas kebaikannya kepadaku yang tak mampu untuk ku balas..."


Ameen ya Robbal 'Alamin.
[aisyahumaira0803.blogspot.com]

Tuesday, March 11, 2014

Dia yang ku cemburui.



Sabda Rasulullah “Demi Allah! Ia tidak memberikan ganti untukku yang lebih baik darinya. Khadijah telah beriman kepadaku ketika orang-orang masih kufur, ia membenarkanku ketika orang-orang lain mendustaiku, ia memberikan hartanya kepadaku ketika manusia lain tidak ingin memberikan kepadaku, dan Allah memberikanku anak darinya dan tidak memberiku anak daripada yang lain.”

Siapakah wanita yang paling dicemburui kerana keberuntungannya? Wanita yang mendapat didikan istimewa daripada suami terbaik di muka bumi. Kisahnya mewangi merentasi zaman. Menjadi impian dan kebanggaan seluruh umat. Menjadi contoh dan diteladani berjuta insan.

Keistimewaan dan sanjungan yang diperoleh hari ini bukan diperolehi olehnya secara percuma. Tetapi dialah wanita terbaik yang menjadikan Allah dan Rasulullah sebagai keutamaan. Dialah wanita agung yang meletakkan keimanan di puncak tertinggi biarpun nyawa sebagai ganti. Dialah yang merelakan perjuangan mengatasi gelojak nafsu dan emosi. Dialah wanita pilihan Tuhan, yang berkorban hingga ke nafasnya yang terakhir. Dialah isteri yang menyelimuti Rasulullah, memberikan kata peneguh perjuangan, lantas mencari solusi mengenai kebimbangan suami ketika detik pertama menerima wahyu. Dialah ibu yang melahirkan seorang puteri berakhlak bidadari, Saidatina Fatimah Az Zahra’ binti Muhammad.

Subhanallah, berbahagialah sang suami dikurniakan isteri yang tidak hanya mengharapkan puji-pujian sebagai syarat cinta, telefon canggih sebagai syarat untuk berbakti, rumah banglo sebagai syarat ketaatan, kereta mewah sebagai syarat kesetiaan, dan emas perak sebagai mahar kebahagiaan. Kerana jiwanya telah dididik oleh suami yang dicintai, bahawa di syurga sana segalanya dijanjikan indah dan abadi. Allah..betapa kami cemburu, pada ketinggian nilai imannya, yang begitu jauh daripada kami.

Dialah Saidatina Khadijah, kecintaan kami. Dan detik ini, seandainya wanita mulia ini datang menjengah melihat kami wanita akhir zaman. Alangkah malunya..

Alangkah malunya kami,
Jika dikau hadir di kalangan kami,
Melihat para wanita yang tidak lagi malu,
Enggan menghijab hati dan juga diri,
Daripada pandangan mata yang menipu.

Alangkah malunya kami,
Jika dikau hadir di kalangan kami,
Melihat anak perempuan kini,
Maruah diri tak lagi diperhati,
Suara dilunak pada ajnabi,
Wajah dirias menarik lelaki.

Alangkah malunya kami,
Jika dikau hadir di kalangan kami,
Melihat para isteri yang tidak berbakti,
Meletakkan dunia sebagai ganti,
Dosa dan azabNya tidak dipeduli,
Asalkan kehendak diri sentiasa dipenuhi.

Alangkah malunya kami,
Jika dikau hadir di kalangan kami,
Melihat para ibu yang tidak teliti,
Pada iman dan akhlak permata hati,
Membiarkan mereka tanpa dipeduli,
Asal cukup makan dan material diberi.

Alangkah malunya kami,
Jika dikau hadir di kalangan kami,
Sedangkan kami masih juga begini,
Mencintai dunia dan seisinya,
Hingga lupa suatu hari nanti akan pergi.

Alangkah malunya kami,
Jika dikau hadir di kalangan kami,
Duhai Saidatina Khadijah kecintaan Nabi,
Kerana akhlakmu sungguh terpuji,
Merentas zaman kekal mewangi,
Menjadi contoh dan teladan buat kami.


Ya Allah,
Sesungguhnya kami wanita akhir zaman,
Yang sarat dengan cita-cita dan impian,
Untuk menjadi muslimah dambaan,
Namun selalu lemah dengan ujian.

Ya Robbi,
Berikanlah kami kekuatan,
Untuk berjalan menyelusuri taqdir,
Dengan iman dan penuh keyakinan,
Sungguh bantuanMu kami dambakan.

Terima kasih ya Allah, atas kurniaan seorang Khadijah yang mulia, sebagai inspirasi buat kami semua :)

[aisyahumaira 110314]





 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat