“ Rindunya waktu-waktu dahulu ketika boleh makan dengan berselera…” saya bersuara meluahkan apa yang terpendam. Hampir sebulan ‘perut’ ini tiada rasa ingin menjamah makanan, biarpun seenak mana makanan yang terhidang. Hanya roti dan biskut menjadi menu harian, itupun setelah dipaksa makan walaupun sedikit agar tubuh mampu bertahan.
“ Patutlah
seorang anak kena taat pada ibu dan jangan menderhakai ibu lebih daripada
seorang ayah kan? Besar pengorbanan seorang ibu…” bicara suami menghadirkan
sedikit kekuatan pada keadaan badan yang semakin lemah. Seringkali senyuman
boleh terukir bersahaja mendengar setiap patah kata daripada dirinya.
‘ Amanah’
ini hadir dengan kesyukuran dan kebahagiaan yang tak terungkap. Namun ternyata
ia juga tidak datang percuma, namun berpakej lengkap dengan air mata dan
kelelahan yang tak pernah dirasai sebelumnya. Banyak yang berubah sekelip mata,
tidur yang mudah menjadi sukar, wangian yang digemari sudah menjadi sebaliknya,
kek kesukaan pun tidak mampu lagi untuk dijamah walaupun sepotong. Dunia seakan
kian kecil dan sempit.
“ Rasa
sukar dan sakit ini juga pasti ada ganjaranNya di sisi Allah. Lebih penting
lagi, ia boleh menghadirkan rasa syukur atas nikmat sihat yang sekian lama
Allah kurniakan…” suami menambah bicara. Saya mengangguk mengiyakan meskipun ia
bukan mudah kerana badan ini pertama kali merasakan perubahan sebegini.
Entahlah, serba tidak kena rasanya!
Setelah
sekian lama Allah kurniakan kesihatan, sehingga mungkin kita terlupa sihat itu
adalah nikmat. Setelah sekian lama Allah anugerahkan selera yang baik, sehingga
mungkin kita terlupa selera itu adalah satu nikmat. Malah, setelah sedari lama
dulu dikurniakan pelbagai macam kebaikan dan kesenangan, kita lupa untuk
mensyukurinya setiap satunya. Dan hati tetap jua cenderung untuk menghitung
kesusahan yang sebentar dan berpenghujung tidak lama lagi. Sedangkan bukan
sekali dua diri ini membaca peringatan wahyu daripada Dia, bahawa dunia ini
ladang ‘cabaran’ bagi hamba-hambaNya yang beriman. Sebagaimana yang difirmankan
di dalam surah Al Ankabut “ Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’, sedang mereka tidak diuji
(dengan sesuatu dugaan)?”
Sesekali
terkenang nun jauh di bumi Ghazzah, namun dekat di jiwa umat Islam sedunia,
alangkah ‘kerdilnya’ terasa diri ini ketika bibir menuturkan soal belas dan
kasihan kepada mereka kerana peperangan yang sedang dihadapi. Sedangkan
‘cabaran’ itu menjadikan mereka kuat dan akrab dengan Tuhan, malah membuka
ruang syahid yang dijanjikan syurga. Sewajarnya kita yang perlu ‘cemburu’
kerana mereka sedang rindu untuk bertemu Allah dan disambut ribuan bidadari
yang juga merindukan mereka. Sedangkan kesenangan yang sedang kita nikmati di
bumi ini boleh jadi menutup mata dan hati daripada melihat jauh ke jendela
akhirat sana.
HANYA
KERANA ALLAH
Saya
teringat kata-kata seorang ulama’ Imam Hassan al Basri yang indah untuk
direnungi. Kata-katanya berbunyi : ‘Semoga Allah merahmati seorang hamba
yang merenung sejenak sebelum melakukan suatu amalan. Jika niatnya adalah
kerana Allah, maka ia melakukannya. Tapi jika niatnya bukan kerana Allah maka
ia menghalangnya.’
Justeru,
setiap apa yang dilalui dan dirasai, biarnya berpijak di bumi Allah,
berterbangan jua di langitNya. Agar tak jauh tersasar daripada jalan untuk
kembali kepada Dia. Ketika disapa sepoi angin ujian, berpautlah kepadaNya. Dan
ketika dihentak kasar taufan ujian, bertahanlah hanya kerana Dia. Kerana Dia
adalah cinta yang sejati, kasih dan rahmatNya tidak bertepi buat hamba yang
beriman, malah dijanjikan pula bahagia nan abadi di sana nanti. Bukan semata
bersandarkan kasih dan pujian sesama manusia di dunia yang tidak lama. Saya
merenung lagi bicara Iman Hassan al Basri untuk dikongsikan bersama : “Wahai
anak Adam, juallah duniamu untuk akhiratmu, niscaya kamu untung di keduanya,
dan janganlah kamu jual akhiratmu untuk duniamu, kerana kamu akan rugi di
keduanya. Persinggahan di dunia ini sebentar, sedangkan tinggal di akhirat sana
sangatlah panjang.”
Kalaulah ketika
kita bangun pagi, dan melapangkan waktu untuk merenung dengan ikhlas dan penuh
penghayatan. Subhanallah, Maha Suci Allah yang masih memberikan pinjaman nafas
untuk kita. Itulah salah satu nikmat besar yang menjadi tanda bahawa Allah
masih menyediakan ruang untuk kita mencari bekal amal soleh dan insaf akan
dosa-dosa yang lalu. Jua menjadi peluang untuk kita memaknai kehidupan dengan
lebih cemerlang menurut acuan hati yang fitrah. Kita sebenarnya tak pernah
tahu, bahagian mana dalam kehidupan kita yang menjadi asbab untuk kita menjadi
ahli syurgaNya. Terasa berat menyebut syurga kerana tahu kerdilnya diri ini
untuk menyimpan hasrat menjejaknya. Namun, tetap ia bukan alasan untuk kita
melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah
di muka bumi ini sebaiknya.
Impian-impian
kita kadangkala menutup mata hati kita daripada mengejar yang kekal di sana
nanti. Impian-impian kita jua biasanya hanya tersekat pandangnya di dunia
semata. Alangkah ruginya, jika saatnya penyesalan tak lagi berguna, ketika itu
segala impian hancur musnah dan peluang kedua tiada lagi.
Kalaulah
jua pada malam hari sebelum menutup mata....kita sudi merenungkan lagi,
seandainya masih ada esok untuk diri ini, semoga esok itu adalah hari yang
lebih baik dan barakah. Hari untuk menyebarkan kasih sayang dan kebaikan,
kepada seluruh insan kesayangan dan sesiapa jua. Ketika ujian bertamu, biarlah
didepani dengan seluruh keyakinan di dalam hati, bahawa Allah sentiasa ada dan
mengabulkan doa hambaNya.
Malam itu
sebelum masuk tidur, saya sempat menjenguk laman mukabuka, lantas pandangan terhenti
pada status terbaru yang ditulis oleh si dia yang dikasihi.
Bahagia
tidak akan terasa gembira tanpa rasa kecewa,
Sihat
tidak terasa nikmat tanpa rasa sakit,
Kaya
tidak akan terasa bersyukur tanpa mengalami kemiskinan,
Senyuman
tidak akan dihargai tanpa wujudnya wajah masam,
Justeru,
musibah & kesusahan itu datang agar kita lebih menikmati, bersyukur, sedar,
insaf dan kembali kepadaNya.
Benarlah,
setiap kesusahan tidak datang sia-sia, melainkan padanya ada nikmat untuk
kesyukuran dan keinsafan. Dengan
semangat yang hadir malam ini, belum tentu diri ini akan bertahan esok hari.
Namun, dengan kasih sayang Dia yang tak bertepi, esok akan pasti mampu
ditempuhi. Terima kasih ya Allah, atas ‘anugerah’ dan ‘cabaran’ ini!
Nur A’isyah Humaira binti Ismail
0 comments:
Post a Comment