“ Abang pergi dulu ya..” perlahan suara suami menuturkannya sambil meletakkan tangannya di atas ubun-ubunku, lantas membacakan doa seperti kebiasaannya sebelum dia keluar rumah. Seawal sebelum subuh menampakkan diri, dia sudah perlu bergegas ke lapangan terbang, melunasi tanggungjawab di luar negeri.
Bukan
kali pertama. Ya, bukan kali pertama tetapi setiap kali itu jua rasa sayu
menerjah. Tidak bolehkan lewat sedikit keluar? Hatiku mendesah. Soalan yang diketahui
pasti sudah berjawab oleh diri sendiri. Hati wanita agak terganggu pagi ini,
mungkin kerana seminggu dua ini jadualnya agak padat berbanding biasa. Hanya
senyuman tawar yang mampu diukir mengiringi pemergiannya pagi itu. Padahal
bukannya lama, hanya sehari dua sahaja sebelum kembali bertemu wajah. Sedangkan
ada suami isteri lain yang terpisah jarak dua benua, kerana tuntutan tugas dan
sebagainya. Tak dapat saya bayangkan perasaan mereka para isteri namun saya
yakini Allah meletakkan mereka dalam batas kemampuan yang pasti mampu untuk
ditempuhi.
Usai
pemergian, saya berteleku lama di atas sejadah sementara menunggu azan
subuh. Sambil tangan mengusap perlahan teman
yang ada di hening pagi ini, seorang bayi yang kian membesar di dalam rahim. Fikiran
saya menerawang jauh. Kenapa saat ini segalanya seakan sukar dihadam sedangkan
sejak awal pernikahan, saya sudah maklum akan tanggungjawabnya pada ummah, di
luar rumah. Jua tanggungjawabnya pada para isteri, dalam menggiliri dua
keluarga dengan adil dan penuh kasih.
Hati
sendiri, cukup berseni. Hinggakan diri sendiri pun perlu masa untuk
memahaminya. Sekeping hati kurniaan Ilahi.
Kenapa
harus berkira-kira tentang masa yang tidak banyak, sedangkan masa bersama di
rumah sentiasa digunakan untuk melayani keluarga dengan sebaiknya. Kenapa harus
berkira-kira tentang kesibukan, sedangkan masa untuk keluarga, pulang ke
kampung, menghadiri walimah dan sebagainya sentiasa ada dan menjadi keutamaan
dirinya untuk kami. Kenapa harus berkira-kira tentang masa yang tidak banyak di
mata insan, tetapi sakit demam tidak pernah tidak dipeduli. Kenapa harus
berkira-kira tentang masa yang telah pergi, sedangkan ketika ini di masih di
sisi, menjadi imam dan pelindung kami. Kenapa harus berkira-kira tentang masa
hadapan, sedangkan segalanya masih misteri belum pasti.
Dan
kenapa harus berkira-kira tentang rutinnya untuk agama setiap hari, sedangkan
setiap usaha penat lelahnya jua akan kembali pada kami, jika tidak di sini, di
sana nanti. Kenapa dan kenapa? Sedangkan suatu ketika dahulu, diri ini yang
sudi untuk menyenangi, setiap usaha dakwah oleh si dia yang dicintai kami.
Bunyi
notification daripada telefon bimbit berbunyi yang dimaklumi daripada
suami yang sudah mula dirindui walaupun baru setengah jam dia pergi.
“Abang
sudah sampai airport, Alhamdulillah..” ringkas makluman suami tanpa
sebab mengundang air mata. Saya menaip sesuatu, meluahkan kemaafan dan
perasaan, seorang wanita biasa yang lemah. Alhamdulillah, akhirnya kelegaan
mengambil alih keresahan, setelah segalanya disandarkan dalam sujud pada Ilahi,
juga menerima suntikan semangat daripada dia yang sedang bekerja di luar sana. Senyuman
diukir pasti pada pagi ini lantas membisik “ Redhakanlah hatiku ya Allah, untuk
menjadi penguat pada perjalanan suamiku sementara masih ada sisa nafas yang
dipinjamkan olehMu.…”
Berjauhan,
bukanlah alasan untuk tidak saling ‘mendekat’. Saling mendekat dalam doa dan
ingatan. Saling mendekat dalam cinta dan kasih sayang. Saling mendekat dalam
perhatian dan kebimbangan. Apabila bertemu, masya Allah nikmatnya cukuplah
hanya Allah yang tahu, pemilik segala kerinduan. Namun jika kita yang memilih
untuk berjauhan dan saling ‘menjauh’, lantas membiarkan perasaan marah
menguasai diri, meletakkan emosi melepasi keimanan, meredhakan sangka buruk
daripada sangka baik, alangkah ruginya. Kerana apabila bertemu, ada ‘rasa’
terpendam yang mengunci dua jiwa daripada saling melerai rindu. Rindu tetapi
tenggelam dalam kemarahan, rindu tetapi ego meluahkan dalam lenggok yang
disenangi si dia, rindu tetapi membiarkan sangkaan buruk mengambil tempat
ketika ruang bersama. Sekaligus, membawa pergi perlahan-lahan rasa kasih hanya
kerana ‘ungkapan’ rindu yang silap diekspresi ketika si dia dekat dan jauh
Gunakanlah
masa-masa berjauhan untuk saling memuhasabah cinta. Muhasabah cinta dengan
Tuhan, berdua-duaan dengan Dia dalam meluahkan nikmat dan kepayahan seharian.
Jua muhasabah cinta antara dua insan, masihkah ia dalam landasan menuju kepada
Dia. Semoga berjauhan yang ‘ditaqdirkan’ oleh Allah itu menjadi ingatan bahawa
segala yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman sebagai ujian ketaatan
termasuklah insan yang dicintai. Dan semoga berjauhan itu akhirnya muncul
menjadi kekuatan untuk mengecas kembali penghargaan antara suami dan isteri,
ibu dan ayah, adik beradik, jua sesama teman. Agar apabila bertemu nanti, penuh
dengan cinta dan pengertian.
Benarlah,
hati ini milik Allah dan pasti akan hanya mampu difahami sepenuhnya oleh Dia,
berdoalah agar dikurniakan kekuatan, agar terhasilnya iman yang mampu
melonjakkan keyakinan pada setiap ujian Tuhan dan menjadi asbab kian akrab
dengan jalan-jalan ketaatan padaNya. Setelah jatuh, bangkitlah. Dan jika jatuh
lagi, jangan serik untuk bangkit lagi. Allah subhanallahu taala sentiasa
ada untuk para hambaNya.
Ada
dan dekat. Lebih dekat daripada urat nadi kita sendiri. Sebagaimana yang
difirmankan di dalam surah al Baqarah 186 ;
“Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)..”
Ada
temanku pernah menukilkan,
Di sini
tempat ujian dan perjuangan,
Bukankah
cinta para pejuang,
Sekejap
di sini, berlama-lama di ‘sana’.
Allahumma
ameen!
0 comments:
Post a Comment